Oleh Dr. Siti Hidayah Abu Talib, Dr. Muhammad Salleh Abustan, Ir. Ts. Dr. Mohd Ariff Ahmad Nazri, PM Dr. Nor Amani Filzah Mohd Kamil
ISKANDAR PUTERI – Dalam usaha memelihara sungai dan meningkatkan kesedaran generasi muda tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar, Projek River Rangers 2.0 @ Iskandar Puteri telah dilaksanakan pada awal Disember tahun lalu setelah mendapat tajaan daripada geran komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) 4.0 oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Menurut Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Siti Hidayah Abu Talib, program itu merupakan kesinambungan daripada program terdahulu iaitu program River Ranger @ Iskandar Puteri di bawah tajaan geran IPRK 3.0 oleh pihak yang sama.
Projek itu menampilkan dua fasa berbeza dengan pendekatan yang sama dalam mendidik masyarakat mengenai kaedah pemantauan kualiti air sungai.
“Lebih menarik, program kali ini bukan sahaja melibatkan guru-guru seperti edisi sebelumnya, tetapi turut melibatkan 80 pelajar tingkatan tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Rini, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desa Skudai, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Usman Awang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Damai Jaya,” katanya.
Setiap sekolah telah dibekalkan dengan ‘UJIMAKRO Water Monitoring Kit’ bagi memudahkan pengujian kualiti air secara fizikal, kimia dan biologi, selain meningkatkan lagi pemahaman peserta terhadap teknik pemantauan Sungai.
“Jika sebelum program hanya 42.3 peratus responden memahami fungsi alat pemantauan air, selepas program angka tersebut melonjak kepada 73 peratus, sekali gus membuktikan bahawa pembelajaran secara praktikal lebih berkesan berbanding teori semata-mata,” jelas Dr. Siti Hidayah.
Program kali ini melibatkan pelajar secara langsung sebagai peserta utama, manakala guru-guru yang telah menyertai program sebelumnya pula dilantik sebagai fasilitator.
Hasilnya, guru-guru terbabit bukan sahaja mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari tetapi juga membimbing generasi muda untuk menjadi lebih prihatin terhadap persekitaran mereka.
Tambah Dr. Siti Hidayah, River Rangers 2.0 bukan sekadar projek pemantauan sungai, tetapi juga satu inisiatif pendidikan yang mampan.
“Perbandingan antara dua fasa menunjukkan bahawa latihan fasilitator adalah kunci utama dalam memastikan kejayaan program kali ini yang melibatkan komuniti secara langsung.
“Dengan pendekatan berstruktur ini, diharap lebih banyak inisiatif pemuliharaan dapat dijalankan untuk memastikan kelestarian sungai di Malaysia,” katanya.
Dengan kolaborasi erat antara institusi akademik, pihak berkuasa tempatan dan komuniti, UTHM berharap usaha pemeliharaan sungai dapat diperluaskan dengan lebih berkesan, demi manfaat generasi akan datang.


