Oleh Ts. Inv. Mahmod Abd Hakim Mohamad, Ts. Inv. Dr. Mohd Shahir Yahya

TANGKAK, 27 Februari 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Pengajian Diploma (CeDS) meneruskan komitmennya dalam memperkasakan pendidikan dengan menjalin kerjasama strategik bersama Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran (SMALQ) Kesang Tasek, Sungai Mati, Tangkak, Johor.

Sebagai tanda simbolik bermulanya kerjasama dua institusi, satu majlis Penyerahan Surat Watikah Sekolah Angkat UTHM telah diadakan pada 27 Februari 2025 lalu.

Penyerahan watikah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif UTHM dalam memberikan sokongan akademik serta pembangunan kemahiran kepada pelajar sekolah angkatnya.

CeDS berharap kerjasama itu dapat memberi manfaat besar bukan sahaja kepada para pelajar tetapi juga kepada keseluruhan komuniti sekolah melalui pelbagai program pendidikan dan kemasyarakatan yang bakal dijalankan.

Turut hadir ke majlis itu, Ts. Inv. Mahmod Abd Hakim Mohamad dan Ts. Inv. Dr. Mohd Shahir Yahya, Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, UTHM; Ustaz Ishak Md Bosrah, Guru Penolong Kanan Pentadbiran merangkap wakil Pengetua Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran serta Mohd Alias Ramli, Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah tersebut.

Satu sesi ceramah ‘Hala tuju Pelajar Selepas SPM 2025’ juga telah diadakan melibatkan penyertaan 135 pelajar tingkatan empat dan lima dengan objektif memberi suntikan semangat berkaitan hala tuju dan persediaan pelajar terutama kepada calon-calon SPM pada tahun ini.

Ceramah yang disampaikan oleh Dr. Mohd Shahir memfokuskan kepada strategi dalam mencapai cita-cita dengan pemilihan program yang sesuai di peringkat pengajian tinggi di samping mempromosikan program Diploma UTHM.

Pengetua SMALQ, Ustaz Ishak Md Bosrah dalam ucapannya amat mengalu-alukan usaha murni seperti ini dan berharap agar jalinan kerjasama ini dapat diteruskan untuk manfaat jangka panjang kepada pelajar.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada UTHM atas usaha yang berterusan dalam menyokong sektor pendidikan dan pembangunan modal insan di peringkat sekolah.

“Dengan adanya inisiatif seperti ini, para pelajar diharapkan dapat memanfaatkan segala peluang yang diberikan untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dalam SPM 2025.

“Semoga hubungan kerjasama antara UTHM dan Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran ini terus berkembang dan memberi impak positif kepada pembangunan pendidikan negara,” katanya.