Oleh Suriayati Baharom

Projek sulung pengubahsuaian bilik kuliah ‘FKEE Zone Powered By Yasayan UTHM’ telah memberi suasana pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang lebih selesa dan kondusif kepada pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Hasil cetusan idea daripada Naib Canselor, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, projek pengubahsuaian bilik kuliah itu telah mendapat tajaan dari Yayasan UTHM dan telah dilancarkan pada 19 Ogos 2024 lalu.

Mesyuarat berkaitan Projek Naik Taraf Bilik Kuliah yang dipengerusikan oleh Naib Canselor pada 2 Mei 2024 lalu telah memutuskan Bilik Tutorial 7 di FKEE akan menjalani proses pengubahsuaian dengan menggunakan peruntukan dari Yasayan UTHM.

Projek pengubahsuaian yang dilengkapi dengan kemudahan yang lebih ceria, baharu dan moden itu telah menelan belanja sebanyak RM25 ribu serta mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

Menurut Dato’ Ruzairi, persekitaran yang kondusif untuk proses PdP dan disokong oleh infrastruktur yang teguh adalah penting dalam melahirkan pelajar  yang berdaya tahan dan berdaya saing.

“Oleh itu, inisiatif yang dilaksanakan merangkumi tiga bidang utama, iaitu membangun dan menambah baik infrastruktur fizikal dan pengurusan maklumat, serta memastikan keperluan pengawalseliaan dan juga keperluan operasi menjadi elemen utama dalam menghasilkan graduan yang terbaik.

“FKEE Zone Powered by Yasayan UTHM ini merupakan pemangkin kepada usaha serta kerjasama UTHM dengan pihak luar sebagai penyumbang kepada naik taraf ruang PdP UTHM.

“Selain dapat mengukuhkan hubungan universiti-industri, ia juga dapat membantu menampung kos perbelanjaan yang melibatkan penyelenggaraan infrastruktur di UTHM,” katanya.

Untuk rekod, bangunan baharu FKEE telah diserahkan secara rasmi oleh pihak Jabatan Kerja Raya, Malaysia pada tahun 2018.

Memiliki dua bangunan utama iaitu Blok QA yang memiliki tujuh tingkat dan kapasiti bilik sebanyak 217 buah.

Ruang di Bangunan QA ini terdiri daripada Pejabat Pengurusan FKEE, bilik-bilik Pensyarah- FKEE, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) dan juga Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP).

Manakala di Blok ini adalah Blok QB yang mempunyai sebanyak 22 bilik yang terdiri daripada 10 bilik Tutorial dan 12 bilik bagi Makmal-makmal PdP, warga FKEE.