
BATU PAHAT, 13 Mac 2025 – Sekumpulan pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diundang sebagai pakar rujuk dalam menjayakan projek “Innovating Iran’s Instructor Training Center” yang dikendalikan oleh The UNESCO-UNEVOC International Centre for Technical and Vocational Education and Training (UNESCO-UNEVOC) dengan kerjasama UNESCO Tehran.
Projek itu merupakan sumbangan daripada Korea International Cooperation Agency (KOICA) dalam usaha meningkatkan inovasi di institut TVET Iran di bawah Iran Technical and Vocational Training Organization serta Iran Training Centre (ITC-Iran TVTO).
Rentetan itu, satu siri pertemuan telah diadakan untuk membincangkan hala tuju TVET di Iran dan memberikan input bagi meningkatkan inovasi dalam pelbagai aspek seperti teknologi baharu, kemahiran baharu, integrasi Artificial intelligence (AI) dan peningkatan kemahiran pedagogi pengajar.
Objektif utama projek itu adalah untuk memperkukuh sistem latihan vokasional di Iran dengan memperkenalkan pendekatan dan teknologi terkini yang dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan.
Selain itu, projek tersebut juga bertujuan untuk membina kapasiti pengajar melalui latihan dan perkongsian pengetahuan yang berterusan.
Prof. Madya Ts. Dr. Affero Ismail, selaku pakar yang dipinjamkan di UNESCO-UNEVOC telah mempengerusikan sesi webinar bersama lima pensyarah UTHM daripada pelbagai bidang iaitu Dr. Noor Azah Samsudin dalam bidang ICT, Dr. Sasitharan A/L Nagapan dalam industri pembinaan, Dr. Faizal Amin Nur Yunus dalam bidang HVAC dan peralatan rumah, Dr. Mimi Mohaffyza Mohamad dalam bidang pedagogi, keusahawanan dan kemahiran insaniah serta Ts. Mohd Hatta Mohamed Ali @ Md Hani dalam bidang multimedia, animasi dan pembangunan kandungan.
Sesi webinar yang dihadiri oleh wakil kementerian di Iran dan juga wakil UNESCO itu berjaya menarik penyertaan lebih 100 peserta, sekali gus menarik perhatian pihak Iran untuk melanjutkan lagi projek itu ke peringkat yang lebih jauh.
Dr. Affero berkata pihaknya berharap kerjasama sebegini dapat memberikan impak positif yang berpanjangan kepada sistem TVET di Iran.
“Semoga kami dapat terus menyumbang kepakaran dan pengalaman masing-masing dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pendidikan vokasional di peringkat antarabangsa,” katanya.