Sebelum ini negara dikejutkan dengan penipuan syarikat perkhidmatan umrah yang melibatkan 137 jemaah dan kerugian dianggarkan berjumlah 2.94 juta ringgit. Hampir saban tahun kita akan mendengar kes penipuan syarikat umrah tanpa ada jalan penyelesaian. Saban tahun juga, kita akan menyaksikan banyak syarikat baharu yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Ini adalah kerana industri umrah ini merupakan industri yang besar, dianggarkan bernilai RM2.7 bilion setahun. Hampir 300,000 umat Islam mengerjakan umrah setiap tahun dengan purata sehari seramai 800 hingga 1,000 jemaah diterbangkan ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah. Setakat ini, terdapat 1,186 syarikat perkhidmatan umrah yang berdaftar di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang menawarkan pakej umrah dengan pelbagai harga dan fasiliti. Jelas, industri umrah di Malaysia kini telah berkembang pesat dengan permintaan yang sangat tinggi daripada umat Islam yang ingin menunaikan ibadah di Tanah Suci Mekah dan Madinah. Pertumbuhan pesat industri ini turut menarik perhatian pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan. Banyak syarikat yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap keinginan masyarakat Islam untuk menunaikan ibadah suci ini dengan menawarkan pakej yang terlalu murah dan tidak munasabah yang menjurus kepada satu isu serius yang semakin membimbangka iaitu penipuan pakej umrah.
Kes penipuan syarikat umrah
Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, terdapat peningkatan dalam aduan mengenai penipuan pakej umrah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Untuk tahun 2024 sahaja, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) telah merekodkan sejumlah 349 kes penipuan umrah oleh agensi perkhidmatan dengan jumlah kerugian sebanyak RM14.9 juta. Antara modus operandi yang sering digunakan oleh syarikat yang tidak bertanggungjawab ini termasuk menawarkan pakej umrah dengan harga yang luar biasa rendah, menjanjikan hotel bertaraf lima bintang dengan perkhidmatan premium yang akhirnya tidak wujud, penggunaan dokumen palsu atau lesen yang telah tamat tempoh, wang pendeposit hilang gara gara menggunakan orang tengah, serta menggunakan taktik pemasaran yang mengelirukan. Sebagai contoh, terdapat kes yang mana jemaah telah membayar penuh untuk pakej umrah tetapi akhirnya terkandas di lapangan terbang kerana syarikat gagal menyediakan visa atau tiket penerbangan. Ada juga yang sampai ke Tanah Suci tetapi mendapati tempat penginapan tidak seperti yang dijanjikan atau perkhidmatan yang diberikan sepanjang berada di Tanah Suci tidak memenuhi piawaian.
Mengapa pengguna mudah tertipu?
Punca utama mengapa ramai jemaah yang tertipu adalah kerana kurang penyelidikan dibuat sebelum mengambil mana-mana pakej umrah yang ditawarkan. Rakyat Malaysia lazimnya percaya bulat-bulat dengan tawaran syarikat perkhidmatan yang menawarkan pakej murah. Perlu diingatkan bahawa harga saranan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) adalah RM7,890. Harga di bawah saranan ini perlu diselidiki. Ini kerana terdapat syarikat yang menggunakan kaedah seperti skim piramid, memancing mangsa dengan harga yang kononnya jauh lebih murah. Selain itu, ada juga selebriti yang dijadikan poster boy oleh segelintir syarikat tidak bertanggungjawab bagi meyakinkan orang ramai membeli pelbagai pakej umrah ditawarkan. Syarikat tidak berlesen sering juga menggunakan promosi agresif melalui media sosial dan menjanjikan pelbagai ganjaran untuk menarik pelanggan. Perkara-perkara berkaitan penipuan pakej umrah ini boleh dielakkan jika para bakal jemaah membuat sedikit penyelidikan dan semakan terhadap syarikat pengendali pakej umrah.
Bagi memastikan diri tidak menjadi mangsa, pengguna boleh mengambil beberapa langkah pencegahan:
Semak status syarikat
Pastikan syarikat yang menawarkan pakej umrah mempunyai lesen yang sah daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta berdaftar dengan Tabung Haji. Ini boleh disemak dalam laman sesawang MOTAC. Syarikat tersebut perlu berstatus Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.) dan juga mendapat lesen agensi pengembaraan (ticketing) dan pelancongan luar negeri (outbound). Oleh itu, elakkan pembayaran melalui ejen syarikat, koperasi, Yayasan dan seumpamanya kerana mereka tidak mendapat lesen yang sah sebagai pengendali umrah.
Elak tawaran yang terlalu murah dan tidak masuk akal
Sekiranya harga yang ditawarkan jauh lebih rendah daripada pasaran, ini boleh menjadi petanda amaran penipuan sedang berlaku. Oleh itu, adalah lebih selamat mengambil pakej dengan harga yang disarankan oleh MOTAC. Selain itu, harga pakej umrah mungkin berbeza mengikut faktor-faktor luaran contohnya disebabkan oleh musim cuti sekolah, akhir ramadhan ataupun jarak hotel.
Dapatkan kontrak bertulis
Pastikan setiap urusan termasuk pembayaran dan perjanjian pakej direkodkan secara bertulis untuk mengelakkan sebarang penipuan. Fahami dengan teliti terma dan syarat pakej yang ditawarkan, termasuk tarikh penerbangan, penginapan dan fasiliti lain. Yang penting, fahami terma dan syarat sekiranya berlaku pembatalan atau kepalsuan pada pakej yang dijanjikan. Maka, pastikan caj pembatalan atau peruntukan ganti rugi dinyatakan dengan jelas. Elakkan membuat bayaran secara tunai atau melalui akaun peribadi. Gunakan kaedah bayaran yang boleh dikesan seperti cek atau kad kredit.
Menyemak ulasan dan testimoni
Lakukan penyelidikan mengenai syarikat melalui ulasan pengguna lain dan pengalaman jemaah yang terdahulu. Semak reputasi agensi melalui ulasan pelanggan dan laman web seperti Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). Pilih syarikat yang berpengalaman dan mempunyai rekod bersih dalam mengendalikan pakej umrah.
Sekiranya seseorang telah menjadi mangsa penipuan, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk mendapatkan keadilan dan menuntut hak:
Mengumpulkan bukti – Simpan semua bukti berkaitan penipuan, termasuk resit pembayaran atau bukti transaksi bank, surat perjanjian, serta komunikasi dengan ejen atau pihak syarikat melalui WhatsApp, e-mel atau seumpamanya. Pastikan maklumat syarikat dan individu penting juga disimpan bagi tujuan pembuktian.
Membuat aduan kepada MOTAC – Mangsa boleh mengemukakan aduan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), iaitu agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam mengawal selia agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah.
Melaporkan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) – Tribunal ini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar aduan sivil yang melibatkan kerugian sehingga RM50,000. Kelebihan tribunal ini berbanding mahkamah sivil adalah proses pendengaran kes yang lebih cepat dan murah tanpa memerlukan khidmat peguam. Namun, jika nilai kerugian melebihi RM50,000, mangsa perlu mengemukakan tuntutan di mahkamah sivil dan melantik peguam yang bertauliah.
Membuat laporan Polis – Mangsa juga mempunyai pilihan untuk membuat laporan polis. Kes sebegini biasanya diklasifikasikan sebagai kes jenayah penipuan di bawah Kanun Keseksaan. Mangsa perlu membawa dokumen lengkap untuk dimasukkan dalam laporan. Seterusnya, pegawai penyiasat akan menghubungi mangsa bagi tujuan siasatan lanjut.
Mendapatkan bantuan daripada persatuan pengguna – Terdapat beberapa persatuan pengguna dan aktivis masyarakat yang menyediakan perkhidmatan sokongan serta nasihat kepada mangsa penipuan seperti ini. Contohnya, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) boleh memberi khidmat nasihat tentang langkah yang perlu diambil bagi menuntut pampasan dan hak pengguna.
Kesimpulan, terdapat pelbagai pilihan yang boleh diambil oleh mangsa penipuan untuk menuntut hak dan keadilan, sama ada melalui agensi kerajaan, tribunal, mahkamah, atau persatuan pengguna. Namun, langkah paling bijak adalah mengelakkan risiko menjadi mangsa dengan melakukan penyelidikan terlebih dahulu sebelum melantik mana-mana ejen pakej umrah.

Profesor Madya Dr Haji Amran Haji Harun
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Dr. Mohd Nazir Mohd Adi
Pensyarah Kanan
Johor Business School
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
