Dalam dunia perniagaan yang sengit masa kini, memahami kewangan adalah kunci kejayaan. Ramai peniaga kecil sering terperangkap dalam misteri kewangan yang boleh menghalang pertumbuhan dan kestabilan perniagaan mereka. Misteri kewangan dalam kalangan perniagaan kecil sering melibatkan kesukaran menentukan perbezaan antara aliran tunai dan keuntungan, kecelaruan menguruskan kitaran tunai, ketidakcekapan dalam mematuhi bajet dan meramalkan kewangan masa depan, serta kesukaran dalam menangani perbelanjaan yang tidak dijangka dan mengimbangi hutang. Namun, dengan langkah yang tepat, rahsia kewangan ini boleh dibongkar, membuka jalan kepada masa depan yang lebih kukuh dan terjamin. Sama seperti memahami punca penyakit untuk mendapatkan rawatan yang betul, memahami kos perniagaan adalah langkah penting untuk mencapai kesihatan kewangan yang baik.

Menurut tinjauan awal yang dibuat oleh penyelidik UTHM dalam kalangan peniaga kecil dan sederhana pada awal 2025, kebanyakan peniaga kecil menyatakan bahawa persaingan sengit, perubahan citarasa pelanggan dan kenaikan kos, terutama bahan mentah, adalah cabaran utama yang mereka hadapi. Mereka juga perlu memikirkan strategi untuk menyerap kos operasi berikutan penyelarasan gaji minimum. Kajian itu juga menunjukkan rata-rata pemilik perniagaan tidak mempunyai tahap literasi kewangan yang tinggi, selari dengan kajian Intuit QuickBooks 2024 yang mendapati hanya 54 peratus daripada peniaga kecil memahami konsep serta kemahiran kewangan perniagaan sebelum memulakan perniagaan. Sebilangan peniaga juga tidak memanfaatkan perisian perakaunan yang sesuai untuk merekod transaksi perniagaan. Ini boleh memberi cabaran besar kepada kawalan kos dan kewangan perniagaan.

Untuk mengatasi pelbagai cabaran berkaitan kawalan kewangan, peniaga kecil boleh mengambil beberapa langkah penting. Pertama, fokus pada meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Ini boleh dilakukan dengan menilai semula proses kerja serta menyemak bajet untuk memastikan sumber perniagaan dialihkan kepada keperluan yang lebih kritikal. Sebagai contoh, peniaga boleh mengkaji semula proses pengeluaran untuk mengenal pasti langkah-langkah yang boleh dipertingkatkan atau dihapuskan bagi mengurangkan kos. Menyemak bajet secara berkala membantu menjejak perbezaan dalam prestasi semasa, mengoptimumkan kos, menyokong matlamat strategik dan mengekalkan kesihatan kewangan.

Kedua, pertimbangkan untuk bekerjasama dengan perniagaan kecil lain untuk berkongsi kos dan sumber. Ini boleh dilakukan dengan berkongsi ruang pejabat atau peralatan, yang dapat mengurangkan beban kewangan dan meningkatkan kecekapan operasi. Sebagai contoh, peniaga boleh berkongsi ruang pejabat dengan perniagaan lain untuk mengurangkan kos sewa atau berkongsi peralatan seperti mesin fotokopi atau peralatan IT untuk mengurangkan kos pembelian dan penyelenggaraan.

Ketiga, peniaga perlu memastikan rekod kewangan sentiasa dikemas kini dan diaudit secara berkala. Ini membantu untuk mengesan sebarang kesilapan atau penyelewengan dengan cepat serta memastikan integriti kewangan perniagaan. Peniaga juga dapat membuat keputusan yang lebih baik berdasarkan data yang tepat dan terkini.

Seterusnya, menggunakan perisian perakaunan yang sesuai bagi membantu untuk mengautomasikan tugas, memantau aliran tunai dan perbelanjaan secara real-time. Ini dapat membantu perniagaan memahami dan menganalisa struktur dan penggerak kos yang boleh menjadi punca kepada kerugian. Melalui perisian perakaunan juga, pemilik dapat menjimatkan masa, memastikan ketepatan data, memperoleh prestasi kewangan keseluruhan, serta dapat mengakses data dari mana-mana sahaja. Walaupun peniaga kecil sering kali dikaitkan dengan kekangan kos, kekurangan kemahiran serta kerumitan dalam menyesuaikan perisian perakaunan dengan keperluan khusus perniagaan, cabaran ini boleh diatasi dengan memilih perisian yang kos efektif serta mendapatkan latihan kompetensi. Lebih-lebih lagi sekarang kerajaan memberi rebat cukai bagi kategori latihan kompetensi, sewajarnya peluang ini dimanfaatkan dalam kursus yang bersesuaian.

Kelima, latih pekerja mengenai kepentingan pengurusan kewangan dan cara mengenal pasti penipuan kewangan seperti mengenali tanda-tanda transaksi mencurigakan dan memahami prosedur pelaporan yang betul untuk melindungi aset perniagaan. Selain itu kemahiran kewangan membantu pekerja membuat keputusan yang bijak, mengenal pasti peluang penjimatan kos dan menyumbang kepada kesihatan kewangan keseluruhan perniagaan.

Selain itu, peniaga kecil juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar kewangan atau mentor perniagaan yang berpengalaman. Mereka boleh memberikan panduan dan strategi yang lebih terperinci untuk mengurus kewangan perniagaan dengan lebih berkesan. Menghadiri seminar atau kursus kewangan juga boleh membantu peniaga meningkatkan literasi kewangan mereka dan mempelajari teknik-teknik pengurusan kewangan yang terkini.

Yang paling penting, peniaga perlu menerapkan disiplin kewangan yang kuat dan dapat membezakan kos operasi dan peribadi untuk memastikan dana perniagaan diurus dengan bijak. Mengasingkan jenis-jenis kos membantu mematuhi undang-undang cukai, mengurus aliran tunai dengan lebih baik, dan melindungi pemilik daripada liabiliti peribadi.

Dengan memahami dan mengurus kewangan dengan baik, peniaga kecil dapat mengubah cabaran menjadi peluang. Apabila asas kewangan yang kukuh dapat dibina, ia membantu mengelakkan ketidakpastian seterusnya memastikan kelangsungan dan pertumbuhan yang mampan. Ambil langkah proaktif untuk menguasai kewangan perniagaan dan buka jalan kepada masa depan yang lebih cerah dan terjamin. Jadikan kewangan perniagaan sebagai kekuatan, bukan misteri.

 

 

Profesor Madya Dr. Kamilah Ahmad

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Profesor Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri,

Dekan

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 25), 27 Mac 2025: Peniaga kecil perlu kuasai ilmu kewangan, ubah cabaran kepada peluang 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 27 Mac 2025: Peniaga kecil perlu kuasai ilmu kewangan, ubah cabaran kepada peluang 

Peniaga kecil perlu kuasai ilmu kewangan, ubah cabaran kepada peluang