Bulan Ramadan sering dianggap sebagai bulan rezeki. Tetapi bagi usahawan wanita, ia juga bulan ujian yang menuntut ketabahan luar biasa.
Menurut Laporan SME Corp Malaysia 2023, lebih 1,000 usahawan wanita di seluruh negara telah menerima bantuan kewangan dan sokongan pembangunan perniagaan melalui pelbagai program seperti BizME dan TUBE. Ini menunjukkan betapa pentingnya sokongan berstruktur dalam membantu wanita membangunkan perniagaan mereka.
Namun di sebalik angka-angka itu, realitinya jauh lebih mencabar. Bayangkan seorang Wanita, bangun seawal jam 3 pagi menyiapkan sahur, menghantar anak ke sekolah, menjaga ibu bapa yang uzur dan terlantar yang memerlukan lampin ditukar, kemudian ke dapur memasak berpuluh-puluh hidangan sambil menjaga anak kecil yang masih menyusu dan memerlukan perhatian. Akhirnya, berdiri di tapak bazar dari tengah hari hingga malam. Itulah realiti yang ramai tidak nampak.
Tiga cabaran utama menghimpit mereka: keletihan fizikal, tekanan emosi dan cabaran kewangan. Ada yang melaporkan terpaksa meminjam modal untuk membeli bahan mentah kerana jualan pada hari sebelumnya terjejas akibat hujan.
Hujan lebat sering menjadi musuh senyap. Bukan hanya menjejaskan jualan, tetapi memaksa mereka menanggung lebihan makanan yang akhirnya terbuang. Ada yang menyelesaikan dengan ‘lelong’ pada saat akhir, ada yang berkongsi rezeki dengan jiran tetangga dan masjid.
Lebih perit, ada yang menghadapi suami yang tidak memahami. Mereka bukan sahaja berperang dengan cuaca dan persaingan, tetapi juga dengan ketidakfahaman pasangan yang tidak melihat beban sebenar. Ramai juga yang bergelut dengan isu pengangkutan—terpaksa mengangkut barangan berat seorang diri ke tapak jualan. Ada yang terpaksa membawa bayi bersama, tidur di pangkuan sambil mereka melayan pelanggan.
Apa penyelesaian mereka? Pertama, mereka membina rangkaian sesama usahawan wanita — berkongsi petua, menyokong ketika penat dan membantu mempromosi perniagaan masing-masing. Kedua, mereka mula bijak menggunakan platform digital, membuat pre-order dan bekerjasama dengan runner tempatan. Ketiga, mereka mengharap sokongan daripada pihak kerajaan untuk menyediakan ruang bazar yang lebih terlindung, skim mikro-kredit mudah dan program kesihatan mental khusus untuk wanita.
Selain itu, pihak universiti, NGO dan komuniti setempat boleh memainkan peranan dengan menyediakan latihan pengurusan stres, kaunseling keluarga dan peluang pameran di platform digital untuk membantu usahawan wanita memperluas pasaran mereka.
Sebagai masyarakat, kita boleh membantu dengan membeli daripada mereka, memberi kata-kata semangat, dan berkongsi kisah mereka supaya orang ramai lebih menghargai. Setiap sen yang mereka peroleh bukan sekadar duit — ia lambang pengorbanan, air mata, dan cinta mereka terhadap keluarga.
Di bulan yang penuh rahmat ini, mari kita buka mata, hulur tangan, dan bantu meringankan beban mereka. Di sebalik senyuman seorang peniaga wanita, ada letih yang tidak diceritakan, ada tekanan yang dipendam, tetapi juga ada harapan yang tidak pernah padam.

Dr. Umi Kartini Rashid
Johor Business School
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
