Malaysia telah diberi mandat untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN, satu tanggungjawab besar yang membawa pelbagai peluang dalam memperkukuh kedudukan ekonomi rantau ini. ASEAN merupakan blok ekonomi yang semakin berkembang dengan populasi lebih 680 juta orang dan KDNK gabungan melebihi USD 3.6 trilion.
Dengan kedudukan strategik serta kestabilan politik dan ekonomi, ASEAN berpotensi menjadi kuasa ekonomi serantau. Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mampu memimpin dalam usaha memperkukuh perdagangan, inovasi teknologi, rantaian bekalan serta ekonomi hijau di rantau ini, menjadikan ASEAN lebih berdaya saing di peringkat global.
Malaysia mempunyai kelebihan lokasi yang menjadikannya hab perdagangan utama di ASEAN. Dengan infrastruktur yang baik, dasar ekonomi yang stabil, dan pengalaman dalam memacu kerjasama serantau, Malaysia mampu merangka polisi yang memperkukuh integrasi ekonomi ASEAN. Selaras dengan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Malaysia mampu menggalakkan dasar mesra perniagaan, memperluas kerjasama dalam bidang teknologi, tenaga hijau serta ekonomi digital.
Seiring dengan visi ASEAN untuk menjadi komuniti yang lebih bersatu dan bersepadu menjelang 2030, komitmen berterusan terhadap objektif ini akan menjadi pemacu utama dalam menghadapi pelbagai cabaran global dan mengoptimumkan peluang ekonomi serantau. Kedudukan neutral Malaysia dalam politik antarabangsa juga memberi kelebihan dalam membina hubungan perdagangan antarabangsa yang lebih baik, termasuk dengan kuasa ekonomi besar seperti China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
Salah satu kelebihan Malaysia ialah sektor perbankan Islam dan kewangan digital yang kukuh. Malaysia boleh menarik lebih banyak pelaburan dari negara Islam dan pasaran baru, sekali gus mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai pusat kewangan serantau. Dengan integrasi sistem kewangan digital antara negara ASEAN, perdagangan rentas sempadan dapat dipermudahkan, meningkatkan kecekapan aliran modal dan menggalakkan perdagangan intra-ASEAN.
Dalam menghadapi ketidaktentuan global dan ketegangan perdagangan yang meningkat, Malaysia mempunyai peranan penting dalam menerajui ASEAN ke arah pertumbuhan mampan dan inklusif. Dengan memberi tumpuan kepada inovasi teknologi, daya tahan ekonomi, ekonomi hijau, serta pengukuhan rantaian bekalan, Malaysia mampu untuk memimpin ASEAN lebih bersedia dalam menghadapi cabaran masa depan.
Perdagangan dan pelaburan Intra-ASEAN
Walaupun ASEAN mempunyai Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), cabaran seperti perbezaan regulasi dan isu logistik masih menjadi cabaran perdagangan. Malaysia perlu memainkan peranan dalam mengharmonikan peraturan perdagangan, memudahkan proses kastam, serta mengurangkan birokrasi bagi meningkatkan pelaburan intra-ASEAN.
Malaysia juga perlu memperkenalkan platform digital yang membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ASEAN berinteraksi serta memanfaatkan teknologi digital bagi meningkatkan akses pasaran dan mempercepatkan proses urus niaga. Selain itu, Malaysia boleh menerajui inisiatif bagi mempercepatkan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang lebih inklusif dalam ASEAN, memastikan produk dan perkhidmatan dari rantau ini dapat bersaing di pasaran antarabangsa.
Malaysia juga boleh meningkatkan kerjasama dengan rakan strategik luar seperti China, Jepun, Korea Selatan, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat bagi menarik lebih banyak pelaburan ke dalam ASEAN. Melalui program insentif pelaburan yang lebih fleksibel, ASEAN boleh menjadi destinasi pilihan bagi pelabur asing, sekali gus menggalakkan pemindahan teknologi dan kepakaran ke rantau ini.
Keupayaan teknologi dan inovasi
Revolusi Perindustrian 4.0 membawa perubahan besar kepada ekonomi global. ASEAN perlu memanfaatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT) dan blockchain. Malaysia perlu memainkan peranan utama dengan mencadangkan pembentukan pusat inovasi serantau dan menggalakkan kerjasama antara universiti, industri dan kerajaan dalam penyelidikan teknologi.
Dengan mewujudkan ekosistem startup ASEAN yang lebih kukuh, Malaysia mampu menarik lebih banyak syarikat teknologi tinggi ke rantau ini. Insentif seperti geran penyelidikan, pemudahan visa perniagaan dan akses kepada pelabur global boleh mempercepatkan pembangunan ekosistem inovasi. Selain itu, Malaysia perlu memacu inisiatif pendigitalan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, memastikan ASEAN kekal relevan dalam ekonomi digital yang semakin berkembang.
Malaysia juga perlu memperkenalkan lebih banyak program latihan dan pembangunan tenaga kerja bagi memastikan ASEAN bersedia menghadapi transformasi digital. Dengan peningkatan kemahiran dalam bidang seperti pengaturcaraan, analisis data dan robotik, ASEAN mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar serta memperkukuh daya saing tenaga kerja tempatan.
Memperkasa rantaian bekalan ASEAN
Ketidakstabilan rantaian bekalan global akibat konflik antarabangsa seperti konflik perdagangan dan peperangan menekankan keperluan untuk rantaian bekalan ASEAN yang lebih kukuh. Malaysia perlu memimpin dalam usaha memperkukuh rantaian bekalan dengan menggalakkan penyumberan tempatan, meningkatkan keupayaan logistik dan membangunkan infrastruktur yang lebih berdaya tahan.
Pembangunan hab logistik serantau yang mengintegrasikan pelabuhan utama, lapangan terbang dan sistem kereta api ASEAN dapat mempercepatkan aliran barangan dan mengurangkan kos penghantaran. Selain itu, pembinaan kilang pintar yang menggunakan automasi dan AI dalam sektor pembuatan boleh mengurangkan pergantungan terhadap tenaga kerja murah dan meningkatkan daya saing ASEAN.
Malaysia juga perlu memimpin usaha mempercepatkan penggunaan teknologi rantaian blok dalam rantaian bekalan ASEAN, memastikan ketelusan dan kecekapan dalam perdagangan rentas sempadan. Dengan penggunaan teknologi ini, pergerakan barangan dapat dipantau secara masa nyata, mengurangkan risiko penipuan serta meningkatkan kebolehpercayaan sistem perdagangan ASEAN.
Banyak syarikat multinasional mula mempelbagaikan pengeluaran mereka dengan berpindah dari China ke negara-negara ASEAN seperti Vietnam, Malaysia dan Thailand. Faktor seperti kos buruh yang lebih rendah, dasar pelaburan yang lebih mesra perniagaan, serta kestabilan infrastruktur menjadikan ASEAN sebagai lokasi strategik bagi pembuatan elektronik, semikonduktor, tekstil dan barangan pengguna.
Memanfaatkan ekonomi hijau
Ekonomi hijau menjadi keutamaan dalam pembangunan global. Malaysia mampu memimpin ASEAN dalam peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, pembangunan ekonomi mampan dan amalan perniagaan mesra alam. Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia boleh memperkenalkan insentif bagi syarikat yang mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta menggalakkan pelaburan dalam tenaga hijau seperti solar dan angin.
Malaysia juga boleh menganjurkan Sidang Kemuncak Ekonomi Hijau ASEAN bagi merangka strategi jangka panjang menjadikan rantau ini peneraju dalam tenaga lestari dan pembangunan ekonomi karbon rendah. Dengan memperkukuh dasar berkaitan kelestarian dan tenaga boleh diperbaharui, ASEAN dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil serta menarik lebih banyak pelaburan dalam industri tenaga bersih.
Selain itu, Malaysia boleh memainkan peranan dalam memperkukuh sistem pertanian lestari di ASEAN dengan memperkenalkan teknologi pertanian pintar dan amalan pertanian regeneratif. Ini bukan sahaja membantu mengurangkan kesan perubahan iklim, tetapi juga memastikan keselamatan makanan dalam rantau ini terjamin.
Sebagai Pengerusi, Malaysia mampu memacu ASEAN ke arah menjadi kuasa ekonomi serantau. Dengan dasar proaktif dalam memperkukuh perdagangan, meningkatkan inovasi teknologi, memperbaiki rantaian bekalan, mempromosikan ekonomi hijau, serta menarik pelaburan asing, Malaysia mampu membawa ASEAN ke tahap lebih tinggi dalam ekonomi dunia.
Kerjasama erat antara negara-negara anggota dan kepimpinan strategik Malaysia mampu menjadikan ASEAN sebagai salah satu blok ekonomi berpengaruh di dunia. Dengan strategi holistik dan komitmen jangka panjang, ASEAN boleh muncul sebagai pusat ekonomi global yang berdaya tahan, inovatif, dan mampan. Malaysia, dengan visi kepimpinannya boleh memastikan ASEAN bukan sahaja berdaya saing tetapi juga menjadi model pembangunan ekonomi mampan yang diiktiraf dunia.
Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Berita Harian (muka surat: 11), 1 Mac 2025: Peluang besar Malaysia pimpin ASEAN ke arah berdaya saing

