Oleh Ts. Inv. Dr. Mohd Shahir Yahya, Ts. Inv. Mahmod Abd Hakim Mohamad, Ahmad Haziq Muhammad Sharil

DURIAN TUNGGAL – Lima pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah terpilih untuk menyertai Program Mobiliti Antarabangsa sempena 11th TMAC Design Workshop 2025 yang telah berlangsung pada 16 hingga 27 Februari 2025 lalu bertempat di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Program Mobiliti Antarabangsa kali ke-11 yang diselaraskan oleh Tokushima University-UTeM Academic Centre (TMAC) dilaksanakan secara bersemuka dengan penglibatan bersama 75 pelajar dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Okayama Prefectural University (OPU) dan Tokushima University (TU), Jepun.

Pelajar yang terlibat iaitu Ahmad Haziq Muhammad Sharil, Amnah Batrisyia Azalli, Fatin Husna Nur Waf’fa Kasim, Aiman Fitri Aizil Akmar dan Muhammad Azizul Hakimi Zulkefly ditemani dua pensyarah, Ts. Inv. Dr. Mohd Shahir Yahya dan Ts. Inv. Mahmod Abd Hakim Mohamad.

Menurut Dr. Mohd Shahir, objektif program tersebut dilaksanakan bagi memberi pendedahan dan pemantapan kemahiran insaniah seperti kemahiran penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar, serta menyediakan ruang dan peluang kepada setiap peserta untuk berinteraksi, berkongsi idea dan maklumat inovasi sesama rakan dari universiti antarabangsa yang terlibat.

Lima pelajar UTHM mendapat pendedahan secara langsung kepada teknologi robotik terkini melalui sesi latihan intensif yang melibatkan pengaturcaraan dan automasi robot menggunakan LEGO Mindstorms dan kerjasama rentas budaya dalam pembangunan sumo robot.

“Mereka diberi peluang untuk mereka bentuk, membina dan menguji robot sumo masing-masing yang kemudiannya bertanding dalam perlawanan untuk menolak robot lawan keluar dari gelanggang.

“Aktiviti itu bertujuan meningkatkan kemahiran teknikal dan pemahaman pelajar dalam bidang robotik serta memupuk semangat kerjasama dan persaingan sihat,” katanya.

Selain daripada aktiviti akademik dan teknikal, peserta program turut berpeluang melawat beberapa destinasi menarik di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka.

Lawatan itu bertujuan memperkenalkan budaya dan sejarah Malaysia kepada pelajar terutamanya kepada rakan-rakan dari Jepun serta mengeratkan hubungan antara peserta dari pelbagai negara.

Pelajar UTHM memainkan peranan penting dalam memperkenalkan budaya Malaysia kepada rakan mereka dari Jepun melalui demonstrasi permainan tradisional, makanan tempatan dan seni warisan.

“Program seumpama ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan akademik dan budaya antara institusi pengajian tinggi di dua negara iaitu Malaysia-Jepun.

“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran teknikal dan interpersonal mereka serta memahami kepentingan kerjasama antarabangsa dalam bidang kejuruteraan dan teknologi,” tambah Dr. Mohd Shahir.