Bersediakah kita dalam melalui fasa negara menua? Negara tua ditakrifkan mengikut umur berdasarkan populasi, iaitu penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah populasi penduduk negara. Berdasarkan rekod Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia diramal menjadi negara tua pada tahun 2030. Dalam memastikan kelangsungan kehidupan warga emas kekal sihat, aktif dan produktif, perancangan oleh pihak-pihak berkepentingan amat penting. Sumbangan warga emas penting dalam memastikan ekosistem kehidupan bermasyarakat dimanfaatkan, sekali gus dapat meningkatkan nilai kesejahteraan dan kegembiraan dalam kehidupan.

Tanpa disedari, setiap individu sama ada pelajar, remaja, belia mahupun warga emas mempunyai peranan dan tanggungjawab sebagai warga negara. Dewasa ini, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sering kali dibincangkan. Seharusnya, golongan warga emas tidak terkecuali untuk diberi pendedahan berkaitan kursus-kursus TVET. Inisiatif ini dapat membantu membudayakan gaya hidup sihat, peningkatan ilmu, menambah kemahiran, dan secara tidak langsung dapat menjana pendapatan tambahan. Malahan, ia juga dapat memupuk aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan membudayakan aktiviti pembelajaran sepanjang hayat. Hal ini adalah sejajar dengan konsep University of the Third Age (U3A) dalam menggalakkan penuaan sihat dan aktif.

Agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) ini memberi peluang kepada segenap masyarakat, tanpa mengira usia dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang yang diminati. Pengenalan kursus-kursus TVET kepada warga emas perlu mempertimbangkan beberapa perkara. Hal ini dengan mengambil kira perubahan kepada keupayaan fizikal (psikomotor) dan kemahiran kognitif disebabkan oleh faktor usia. Warga emas yang berminat dalam kursus-kursus tertentu perlu memastikan kemampuan diri dan berkeupayaan dalam menyelesaikan pembelajaran kursus-kursus yang telah dipilih. Antara kursus-kursus TVET yang bersesuaian untuk diikuti adalah kemahiran kraf, kemahiran penanaman, kemahiran bertukang, kemahiran pastri dan bakeri, kemahiran gubahan, kemahiran anyaman dan kemahiran keusahawanan.

Selari dengan era teknologi digital pada masa kini, warga emas juga tidak ketinggalan perlu menguasai teknologi. Kursus-kursus TVET yang berkaitan teknologi dapat ditawarkan kepada warga emas, antaranya aplikasi peralatan mudah alih, aplikasi reka bentuk, aplikasi jualan dalam talian dan aplikasi cetakan. Pendedahan ilmu digital kepada warga emas dapat membantu mereka mengadaptasi kehidupan masa kini, bersesuaian dengan peredaran zaman dan dunia tanpa sempadan. Ia sekali gus memudahkan warga emas untuk menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik.

Kini terdapat pelbagai institusi TVET yang menawarkan kursus-kursus berkaitan, sama ada diikuti secara jangka pendek atau jangka panjang. Dengan pelbagai tahap pensijilan yang ditawarkan dan pilihan, untuk menjalani kursus secara separuh masa atau sepenuh masa. Dengan sokongan institusi-institusi berkaitan dan didokong oleh inisiatif-inisiatif pihak kerajaan, seharusnya usaha memartabatkan TVET untuk warga emas dapat dilaksanakan. Bahkan dalam kalangan warga emas juga dapat menyumbang kepakaran mereka dalam bidang-bidang tertentu. Hal ini dapat memastikan adanya kesinambungan ilmu, dalam konteks pemindahan ilmu kepada generasi muda. Strategi tertentu perlu dirancang, dibuat penilaian dalam memastikan usaha ini mendapat sambutan dan penyertaan warga emas.

Promosi dan faktor penggalak penting dapat membantu memastikan inisiatif ini dapat menarik minat warga emas. Pertimbangan bagi lokasi, kemudahan dan fasiliti oleh penyedia kursus perlu diberi perhatian. Secara umumnya, terdapat keperluan untuk mengkaji demografi sesuatu tempat, seterusnya menawarkan kursus-kursus TVET yang bersesuaian. Tambahan itu, melalui penyertaan kursus-kursus tersebut juga dapat membantu warga emas membina jalinan kolaborasi, meningkatkan pergaulan, mencambah minda dan meningkatkan kesihatan.

Umumnya, melalui penyertaan warga emas dalam kursus-kursus TVET yang bersesuaian membantu melestarikan peranan mereka dalam komuniti setempat, meningkatkan daya usaha dan pemangkin semangat. Usaha dalam melestarikan TVET dalam kalangan warga emas perlu diperkukuhkan, dengan kerjasama dan rundingan dengan pihak-pihak berkepentingan bagi memastikan golongan warga emas menikmati hak. Secara tidak langsung, ia menyemarakkan lagi hasrat kerajaan dalam memastikan TVET menjadi pilihan utama, selaras dengan usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

 

Profesor Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak  Tajul Arifin

Ketua Jabatan,

Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal,

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbtikan di:

1. Harian Metro (muka surat: 14), 10 Mac 2025: Ilmu TVET bukan untuk orang muda sahaja 

 

2. MyMetro (hmetro.com.my), 10 Mac 2025: Ilmu TVET bukan untuk orang muda sahaja

https://www.hmetro.com.my/rencana/2025/03/1195200/ilmu-tvet-bukan-untuk-orang-muda-sahaja