KUCING sememangnya dekat dengan kehidupan seharian kita. Kucing merupakan sejenis haiwan yang mempunyai sifat yang manja, lucu dan sesuai dijadikan haiwan peliharaan. Keletah kucing yang lucu dan manja serta keadaan fizikalnya yang comel membuatkan ramai pencinta kucing tidak keberatan menghabiskan sejumlah wang demi untuk memenuhi keperluan kucing peliharaan mereka. Kucing juga dikatakan sering dikaitkan dengan “murah rezeki” dan juga dikatakan dapat menyerap energi negatif seperti sihir dan juga tekanan selepas penat bekerja. Melihat keletahnya sahaja pun boleh membuatkan pencinta kucing tersenyum gembira.

Lain pula keadaannya dengan masyarakat di Jepun. Dalam kehidupan masyarakat Jepun, kucing bukan sekadar haiwan peliharaan di rumah, tetapi sebahagian daripada cara hidup dan budaya masyarakat mereka. Tanggal 22 Februari merupakan Hari Kucing Kebangsaan (National Cat Day) di Jepun. Tarikh ini dipilih kerana bunyi “22.2” dalam bahasa Jepun ialah “ni ni ni”. “Ni” itu merujuk kepada nombor “2”. Bunyi “ni ni ni” itu hampir sama dengan bunyi kucing dalam bahasa Jepun, iaitu bunyi “nyan nyan nyan”. Bagi pencinta kucing di Jepun, tarikh ini dianggap sangat istimewa kerana tarikh ini berkait rapat dengan budaya dan cara hidup mereka. Pada tarikh ini, pelbagai program dan aktiviti yang dilakukan, seperti perkongsian gambar dan video kucing kesayangan mereka di media sosial, siaran di televisyen tempatan yang bertemakan kucing, pelbagai promosi barangan dan keperluan kucing, kempen kesedaran perlindungan kucing dan sebagainya.

Di Jepun, kucing sering dikaitkan dengan tuah, perlindungan dan juga unsur mistik. Secara umumnya, orang Jepun tidak mempunyai agama yang khusus. Agama bagi orang Jepun merupakan kepercayaan dan cara hidup. Agama yang mempunyai paling ramai pengikut di Jepun ialah agama Shinto dan Buddha. Kebiasaannya orang Jepun tidak berpegang pada satu agama sahaja. Ramai orang Jepun percaya kepada kedua-dua agama ini atau kepercayaan terhadap lebih daripada satu tuhan, dan sistem kepercayaan ini dikenali sebagai “amalan Shinto-Buddha”. Dalam kepercayaan ini, orang Jepun mempercayai bahawa semua benda mempunyai jiwa, termasuklah haiwan seperti kucing. Perkaitan kehidupan orang Jepun dengan kucing telah berlaku sekian lama, sehinggakan kucing menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka. Di Jepun, terdapat beberapa kuil (temple/shrine) yang berkaitan dengan kucing. Antara yang sering diperkatakan dalam kalangan orang Jepun ialah Kuil Gotokuji di Tokyo, Kuil Nambu Jinja di Nagaoka dan Kuil Tashirojima di Miyagi. Di kuil-kuil ini, terdapat patung kucing pelbagai saiz yang diletakkan dalam kawasan kuil. Pengunjung yang datang ke kuil-kuil ini, biasanya untuk memohon hajat yang tertentu seperti memohon tuah dan kejayaan, memohon perlindungan, memohon kesihatan dan sebagainya.

Selain itu, dalam kalangan masyarakat Jepun, terdapat juga patung kucing yang sering dikaitkan dengan tuah, rezeki dan perlindungan, iaitu “maneki neko”. Kata “maneki” membawa maksud memanggil atau mengundang, dan kata “neko” pula membawa maksud kucing. Maneki neko ialah patung kucing yang mengangkat satu kaki hadapan, seolah-olah sedang melambai-lambai, dan turut dikenali sebagai patung kucing “selamat datang”. Patung maneki neko ini biasanya diletak di hadapan sesebuah kedai, restoran, mahupun bangunan perniagaan dengan kepercayaan dapat menarik lebih ramai pelanggan datang membeli barang atau perkhidmatan mereka. Patung maneki neko ini seolah-olah simbol tuah, rezeki atau pun kekayaan bagi sesebuah perniagaan. Warna maneki neko juga memainkan peranan tertentu dalam kepercayaan masyarakat Jepun. Maneki neko yang berwarna putih mewakili simbol kebahagiaan, berwarna emas mewakili simbol kekayaan, berwarna merah mewakili simbol kesihatan dan perlindungan daripada penyakit, berwarna hijau mewakili simbol kejayaan dalam akademik, dan berwarna hitam mewakili perlindungan daripada roh jahat.

Seterusnya, di Jepun juga terdapat beberapa pulau yang didiami oleh ribuan kucing. Malahan, bilangan kucing yang ada di pulau tersebut melebihi bilangan penduduk tempatan. Antara pulau kucing yang terkenal di Jepun ialah Pulau Aoshima di wilayah Ehime, Pulau Tashirojima di wilayah Miyagi dan juga Pulau Enoshima di wilayah Kanagawa. Pulau-pulau ini merupakan antara tempat yang menjadi tarikan pelancong ke Jepun, terutamanya dalam kalangan pencinta kucing. Kucing-kucing dalam pulau-pulau ini biasanya diberi makan oleh penduduk setempat dan hidup secara bebas dalam kawasan pulau. Penduduk tempatan percaya bahawa dengan memberi makan kepada kucing, dapat membawa tuah kepada kehidupan mereka. Pelancong yang datang ke pulau ini pula dapat berinteraksi secara langsung dengan kucing-kucing yang terdapat di pulau berkenaan.

Kehidupan masyarakat Jepun yang begitu akrab dengan kucing, membawa kepada penciptaan watak-watak kucing yang terkenal dalam animasi dan juga dalam drama mereka. Sifat semula jadi kucing yang comel dan manja sesuai dijadikan karakter dalam watak-watak animasi dan drama terutamanya dalam genre fantasi. Ada antara watak-watak yang dicipta ini tidak hanya dikenali di Jepun, malahan turut terkenal sehingga ke luar negara Jepun. Antaranya ialah watak Doraemon, watak Jiji dalam animasi Kiki’s Delivery Service, dan juga watak Baron dalam animasi The Cats Returns dan animasi The Whisper of the Heart. Karakter kucing dalam animasi atau drama Jepun sering digambarkan sebagai watak yang comel, manja, bijak dan juga sahabat yang setia. Selain daripada penciptaan watak dalam animasi dan drama, karakter kucing juga sering digunakan dalam barang-barang permainan dan keperluan kanak-kanak. Antara karakter yang terkenal, ialah karakter Hello Kitty, iaitu satu karakter yang bernaung di bawah Syarikat Sanrio Co., Ltd. Tidak dinafikan ada antara peminat-peminat animasi dan karakter kucing ini yang sanggup datang ke Jepun, semata-mata untuk mendapatkan barangan yang mempunyai cap dagang (trademark) animasi dan karakter ini.

Terkini, kafe kucing menjadi agak popular dalam kalangan generasi muda di Jepun. Bagi pencinta kucing yang tidak mampu memberikan komitmen menjaga sendiri kucing di rumah, mereka dapat berinteraksi secara langsung dan bermain dengan kucing di kafe kucing sambil menikmati minuman. Di Jepun, kafe kucing yang pertama dibuka adalah pada tahun 2004 di Osaka. Sejak dari itu, bilangan kafe kucing semakin bertambah disebabkan mendapat sambutan daripada pencinta kucing. Pelanggan yang hadir ke kafe kucing juga boleh memberikan makanan kepada kucing yang ada di dalam kafe dengan membayar sejumlah wang dengan membeli makanan kucing yang disediakan oleh pihak kafe. Harga yang dikenakan kepada pelanggan bukan sahaja melibatkan harga minuman, tetapi juga melibatkan tempoh masa yang diluangkan bersama kucing-kucing di dalam kafe. Demi memenuhi kepuasan sendiri, pencinta kucing sanggup membayar kadar yang ditetapkan. Antara kafe kucing yang terkenal dalam kalangan pencinta kucing ialah Calico Cat Café yang terletak di Shinjuku, Tokyo.

Walaupun hubungan antara kehidupan orang Jepun dengan kucing agak rapat, namun dari segi penjagaan kucing di Jepun adalah sangat ketat. Orang Jepun yang memelihara kucing perlu memelihara kucing secara “indoor” agar tidak menyusahkan jiran atau orang lain. Garis panduan yang ditetapkan dalam penjagaan kucing perlu dipatuhi. Kucing yang dipelihara akan dipasang mikrocip dan didaftarkan untuk tujuan identifikasi. Cara ini memudahkan orang Jepun untuk mengenalpasti pemilik kucing sekiranya kucing tersebut hilang atau berkeliaran. Kucing di Jepun juga mesti divaksin untuk mengelakkan sebarang penyakit dan jangkitan kepada kucing peliharaan. Kucing yang mahu dibawa bersiar-siar pula perlu dipakaikan tali kucing (harness) dan kucing adalah dilarang daripada berkeliaran bebas sehingga mengganggu ketenteraman awam. Aspek kebersihan amat dititikberatkan. Pemilik kucing bertanggungjawab sepenuhnya dalam menguruskan najis kucing mereka dengan betul.

Kesimpulannya, kucing dengan orang Jepun mempunyai hubungan yang sangat rapat. Kucing merupakan sebahagian daripada cara hidup dan budaya orang Jepun sehinggakan wujudnya hari kucing kebangsaan di Jepun. Namun dari segi penjagaan dan pengurusan kucing, mereka amat menitikberatkan hal yang berkaitan dengan privasi orang lain. Orang Jepun sangat terkenal dengan sikap menjaga privasi dan tidak mahu menyusahkan orang lain. Sikap sebegini perlu dicontohi oleh kita di Malaysia, terutamanya mereka yang ada memelihara haiwan peliharaan di rumah atau kawasan kediaman agar haiwan yang dipelihara tidak menyusahkan atau mengganggu privasi jiran dan penduduk setempat.

 

Siti Hajar Bidin

Guru Bahasa

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Hiyama Junko @ Noor Siti binti Abdullah

Guru Bahasa

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Sinar Harian (muka surat: 17), 3 Mac 2025: Kucing dan kehidupan orang Jepun 

 

2. Sinar Harian (sinarharian.com.my), 3 Mac 2025: Kucing dan kehidupan orang Jepun 

https://www.sinarharian.com.my/article/715588/berita/cetusan/kucing-dan-kehidupan-orang-jepun