SEMARANG – Seramai 15 pelajar serta seorang pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah bekerjasama dengan pelajar dan pensyarah dari Fakulti Alam Bina, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Sekolah Vokasi, Universitas Diponegoro, Indonesia untuk merevolusi ekosistem pelancongan Semarang dengan menggunakan pendekatan Building Information Modeling (BIM).
Kerjasama itu dilaksanakan melalui program Summer Course & International Collaboration Community Service – The Utilization of BIM For Rural Tourism Planning anjuran Sekolah Vokasi, Universitas Diponegoro yang diadakan pada 20 hingga 28 Februari 2025.
UTHM diketuai oleh Dr. Azmal Sabil, dan disertai oleh pelajar tahun satu sehingga tahun tiga program Senibina.
Menurut Dr. Azmal, sepanjang program itu berlangsung, para pelajar menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mempelajari aspek budaya pelancongan Semarang, melalui sesi interaktif yang telah dilaksanakan oleh pihak Sekolah Vokasi, UNDIP.
Hasilnya, pada akhir program para pelajar terbabit berjaya mereka bentuk perancangan pelan induk bagi Kampung pelancongan Tuntang yang terletak di Semarang.
Bagi memanfaatkan sepenuhnya masa yang ada, Dr. Atta Idrawani Zaini, Dekan Fakulti Alam Bina, UNIMAS telah menyampaikan syarahan berkaitan aplikasi BIM dalam aspek pelancongan bertajuk ‘VR area Scanning for Tourism Planning.’
Manakala Dr. Azmal pula menyampaikan syarahan bertajuk ‘BIM for Tourism Object Planning.’
Menariknya, tiga pelajar UTHM telah berjaya memenangi beberapa anugerah dalam pertandingan yang dianjurkan, sekali gus mempamerkan kesungguhan mereka dalam menjayakan program.
“Program ini diharap dapat memberi pembelajaran kepada para pelajar dan pensyarah dalam membina jaringan antarabangsa, di samping membantu mempertingkatkan lagi keterlihatan UTHM di peringkat global,” katanya.




