Jejak karbon merujuk kepada jumlah pelepasan gas rumah hijau seperti karbon dioksida (CO2) dan metana yang dihasilkan oleh aktiviti manusia, termasuk pembakaran bahan api fosil, penggunaan tenaga elektrik dan proses perindustrian. Pelepasan gas-gas ini menyumbang kepada pemanasan global yang menyebabkan perubahan iklim, termasuk peningkatan kejadian cuaca ekstrem seperti hujan lebat dan banjir.
Fenomena banjir yang semakin kerap melanda Malaysia dikaitkan dengan peningkatan pelepasan gas rumah hijau yang menyumbang kepada perubahan iklim global. Jejak karbon yang tinggi akibat pembakaran bahan api fosil dan aktiviti perindustrian telah mengubah corak cuaca negara, mengakibatkan hujan lebat luar biasa dan risiko banjir yang lebih tinggi. Perubahan iklim telah menyebabkan peningkatan suhu global, yang seterusnya mengubah pola hujan dan meningkatkan kejadian cuaca ekstrem. Hujan lebat yang luar biasa kini menjadi lebih kerap, menyebabkan sistem saliran tidak mampu menampung jumlah air yang besar. Akibatnya, kawasan rendah dan bandar-bandar utama sering mengalami banjir kilat.
Kini, Sarawak sedang menghadapi bencana banjir besar yang telah menjejaskan ribuan penduduk. Hujan lebat berterusan yang disebabkan oleh perubahan iklim dan fenomena La Nina telah mengakibatkan beberapa kawasan seperti Kuching, Sibu dan Bintulu ditenggelami air. Selain pemanasan global akibat peningkatan gas rumah hijau, penebangan hutan secara besar-besaran di negeri itu juga memburukkan keadaan, kerana kawasan tadahan air semakin berkurang dan air hujan mengalir dengan lebih cepat ke kawasan berpenduduk. Banyak rumah penduduk dinaiki air, sementara itu operasi menyelamat giat dijalankan bagi membantu mangsa yang terperangkap.
Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, kejadian banjir besar ini adalah bukti jelas bagaimana perubahan iklim memberi impak langsung kepada negara. Pakar turut menekankan bahawa selain faktor cuaca, aktiviti manusia seperti pembukaan ladang kelapa sawit dan pembangunan yang tidak terkawal turut memburukkan lagi keadaan.
Bagi mengurangkan impak perubahan iklim terhadap kejadian banjir, beberapa langkah drastik perlu diambil. Antara tindakan yang boleh dilaksanakan adalah:
Menggunakan tenaga hijau
Beralih kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga suria dan angin dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil yang menghasilkan pelepasan karbon tinggi. Penggunaan panel solar di rumah dan bangunan komersial serta turbin angin untuk penjanaan tenaga adalah langkah penting dalam mengurangkan impak perubahan iklim.
Menggalakkan amalan kitar semula
Mengitar semula bahan seperti plastik, kertas dan logam dapat mengurangkan keperluan untuk menghasilkan bahan baharu yang memerlukan penggunaan tenaga tinggi dan menghasilkan pelepasan karbon. Selain itu, mengurangkan penggunaan barangan pakai buang dan membeli produk yang dihasilkan daripada bahan kitar semula juga menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian
Menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, berkongsi kenderaan (carpooling), serta berjalan kaki atau berbasikal bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon tetapi juga mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara. Kerajaan juga boleh memperkenalkan insentif untuk penggunaan kenderaan elektrik yang lebih mesra alam.
Mengamalkan penanaman pokok
Pokok menyerap karbon dioksida dan membantu menyejukkan suhu persekitaran melalui proses fotosintesis. Program penanaman pokok di kawasan bandar dan luar bandar, serta pemeliharaan hutan sedia ada, adalah langkah yang sangat penting dalam mengimbangi pelepasan karbon yang berlebihan.
Mengurangkan penggunaan elektrik
Penggunaan peralatan elektrik yang cekap tenaga seperti lampu LED, peti sejuk dan penghawa dingin berkecekapan tinggi dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga. Selain itu, mempraktikkan amalan seperti mematikan peralatan elektrik apabila tidak digunakan dan mengoptimumkan penggunaan tenaga di rumah dan pejabat juga dapat mengurangkan pelepasan karbon.
Menyokong produk mesra alam
Memilih barangan yang diperbuat daripada bahan lestari dan mengelakkan penggunaan plastik sekali guna dapat mengurangkan impak terhadap alam sekitar. Pengguna boleh memilih produk dengan pensijilan hijau, mengurangkan pembaziran makanan dan menyokong perniagaan yang mengamalkan prinsip mesra alam dalam operasi mereka.
Kesedaran mengenai jejak karbon dan kesannya terhadap bencana alam seperti banjir perlu dipertingkatkan. Langkah-langkah kecil ini perlu dimulakan dari sekarang bagi melindungi alam sekitar dan memastikan generasi akan datang tidak mewarisi negara yang terdedah kepada lebih banyak bencana alam yang boleh dielakkan._Foto BERNAMA

Dr. Salwa Mahmood
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Prof. Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
