Oleh Dr. Tasiransurini Ab Rahman

BATU PAHAT – Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan ABIM Batu Pahat sekali lagi menganjurkan Kempen Sumbangan Sekampit Beras (KSSB) bersempena bulan Ramadan al-Mubarak bagi edisi 2025/1446H, yang melibatkan pemberian sumbangan kepada golongan B40, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).

FKEE telah terlibat dalam dua fasa agihan sumbangan, yang mana seramai 19 sukarelawan menyertai fasa satu, manakala 20 lagi menyertai fasa dua.

Program kali ini bertumpu kepada 40 keluarga pelajar B40 Sekolah Menengah Tun Aminah (SMTA) dan Sekolah Menengah Penghulu Saat, Parit Sulong, Batu Bahat.

Keluarga-keluarga terlibat telah menerima sumbangan berupa keperluan harian dan juga wang tunai.

Golongan ibu tunggal dan OKU antara mereka yang turut menerima sumbangan ini.

Selain ABIM Batu Pahat dan Jawatankuasa Kebajikan Pelajar, Kesukarelawan, dan SULAM (JKKKS),  Kelab Kejuruteraan Elektrik (KKE) dan Kelab Staf FKEE (KsFKEE); program ini turut melibatkan penyertaan Kumpulan Pelajar Islam Johor (KPIJ) Batu Pahat, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading, sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dan Global Peace Mission (GPM).

Penasihat II Program KSSB merangkap Dekan FKEE, Prof. Madya Ts. Dr. Asmarashid Ponniran berkata saban tahun fakulti sentiasa menyambut baik kerjasama untuk menganjurkan KSSB ini.

”Selain mengeratkan hubungan sesama rakan kerjasama dan para sukarelawan, menjadi harapan kami supaya lebih ramai golongan kurang berkemampuan dapat dibantu dan diberi semangat untuk terus bangkit.

”Terima kasih diucapkan kepada para penyumbang, rakan-rakan kerjasama, para jawatankuasa pelaksana, pihak sekolah dan para sukarelawan yang telah memberi komitmen yang padu sepanjang program ini berlangsung,” katanya.