
Oleh Dr. Zalilah Murni Yunus, Prof. Madya Muhamad Ghazali Kamardan
BATU PAHAT, 17 Mac 2025 – Mengambil keberkatan bulan Ramadan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan inisiatif Kelab Kebajikan Staf Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (KEiSSWA) telah menjayakan program ‘Infaq Ramadan’ yang bertemakan ‘Infaq Ramadan sebagai Jambatan Prihatin di Tempat Kerja.’
Program itu bertujuan untuk memastikan golongan yang kurang berkemampuan mampu menjalani ibadah puasa dengan selesa dan melakukan persediaan perayaan dengan penuh gembira dan harapan.
Kempen infak untuk warga kampus yang hanya berlangsung dalam masa tujuh hari itu berjaya mendapat kutipan sebanyak RM1113.70 dan telah diagihkan kepada 20 penerima yang terdiri daripada rakan sekerja dan pekerja pencucian.
Sambutan positif daripada penyumbang dilihat sebagai manifestasi keprihatinan yang tinggi dalam kalangan ahli kelab terhadap golongan yang kurang berkemampuan.
Rentetan itu, satu majlis mengagihkan sumbangan kepada penerima infaq telah dilaksanakan dan disampaikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Madya Ts. Dr. Noor Azura Awang mewakili Dekan FAST.
Sumbangan berupa barang keperluan harian dan duit raya sebagai simbolik kasih sayang dan sokongan kepada mereka yang memerlukan.
Menurut Pengerusi KEiSSWA, Profesor Ts. Dr. Azme Khamis, program sebegitu bukan sahaja dapat membantu dari segi material, tetapi juga menyuntik semangat dan harapan kepada mereka yang sedang menghadapi kesulitan hidup.
“Dengan adanya bantuan seumpama ini, mereka dapat menikmati rasa kepedulian dan keceriaan yang diberikan oleh warga kerja di tempat mereka mencari rezeki.
“Impak program ini dilihat lebih besar daripada sasaran apabila ia secara tidak langsung membentuk budaya prihatin dan suasana kondusif di tempat kerja serta meningkatkan kesedaran tentang pentingnya bantuan sosial dalam kalangan golongan kurang berkemampuan,” katanya.
Pihak fakulti juga berharap program seumpama ini akan menjadi tradisi tahunan bagi membantu golongan tidak berkemampuan, sekali gus sebagai inisiatif mencipta budaya tempat kerja yang lebih harmonis dan prihatin.