KOREA SELATAN, 5 Mac 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus melakar kejayaan di peringkat antarabangsa apabila dua pelajar cemerlang dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) telah terpilih menyertai ‘Spring Exchange Program 2025’ di Korea University of Technology and Education (KOREATECH), Korea Selatan.

Pelajar tersebut iaitu Ngoh Ea Son, program Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan) dengan Kepujian dan Nor Ali Yanshah Mat Rae, program Sarjana Muda Sains (Analitik Data dan Komputasi) dengan Kepujian mendapat penajaan sepenuhnya dari Kerajaan Korea Selatan

Program pertukaran yang berlangsung selama satu semester iaitu dari Mac hingga Jun 2025 memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman akademik di institusi bertaraf dunia, meneroka budaya Korea dan pada masa yang sama  menjadi duta untuk jaringan antarabangsa dua negara.

Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Prof Madya ChM. Ts. Dr. Hatijah Basri, turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pelajar tersebut.

Beliau berharap pengalaman berharga yang diperoleh sepanjang program berlangsung akan memberi impak positif kepada perkembangan akademik dan peribadi mereka, sekali gus dapat mengharumkan nama UTHM di persada antarabangsa.

“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus melakar kecemerlangan di peringkat global,” katanya.

UTHM komited dalam menyediakan pelbagai program mobiliti dan kerjasama antarabangsa bagi memberi peluang kepada pelajar memperluaskan pengalaman pembelajaran mereka.

Universiti ini juga menggalakkan lebih ramai pelajar untuk merebut peluang seperti ini demi membina masa depan yang lebih cemerlang.