Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Syarikat BP Renalcare Sdn. Bhd. telah menaja pengubahsuaian bilik kuliah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) sebanyak RM30,000 melalui Geran Industri (Vot M085) bagi memberi pengalaman pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih positif kepada warga FKAAB.

Projek pengubahsuaian bilik kuliah yang dinamakan ‘Bilik Aspirasi Industri’ itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf ruang kuliah bagi menyediakan persekitaran yang menjadi lebih moden serta suasana yang lebih ceria dan kondusif, sekali gus meningkatkan imej dan fasiliti PdP di FKAAB.

Reka bentuk bilik itu dibangunkan berdasarkan reka bentuk kontemporeri moden bagi meningkatkan keselesaan pelajar serta memberi pengalaman pembelajaran yang positif kepada pelajar.

Melalui konsep itu, kerusi, dinding dan fasiliti disuai padankan dengan warna yang lebih ceria bagi memberi semangat baharu kepada pelajar sewaktu mengikuti sesi pembelajaran di ruangan itu.

Untuk rekod, Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim telah merasmikan Bilik Aspirasi Industri pada 26 September 2024 lalu.

Hadir sama ke majlis perasmian tersebut, Dekan FKAAB, Prof. Ir. Dr. Mohd Haziman Wan Ibrahim, Founding Director B. P. Renalcare, Dr. M. Yusof Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) B. P. Renalcare, Kee Swee Lai.

Projek tersebut telah digerakkan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Sasitharan Nagapan selaku Ketua Geran Industri yang telah terinspirasi dengan cetusan idea oleh Naib Canselor UTHM, dan perkara itu turut disambut baik oleh Dekan FKAAB.

UTHM dan FKAAB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengasas dan Pengarah Urusan B.P. Renalcare, Dr. Kee Swee Ann yang sentiasa memberi komitmen yang tinggi kepada projek itu, sekali gus menyumbang sejumlah dana bagi membantu meningkatkan fasiliti dan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar UTHM.