Peperangan Israel-Palestin kini memasuki bulan ke-17, bermula dengan serangan mengejut dari Semenanjung Gaza ke atas Israel pada 7 Oktober 2023. Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan bahawa jumlah kematian sejak konflik berskala besar pada 2023 kini meningkat kepada 48,365. Jumlah keseluruhan yang cedera telah mencapai 111,780 sejak perang bermula.

Kematian terus berlaku di tengah-tengah cuaca sejuk melampau di Gaza, sementara Israel berterusan menghalang bantuan daripada memasuki wilayah tersebut. Media Al-Jazeera melaporkan pada 25 Februari tahun ini, sekurang-kurangnya enam orang bayi Palestin telah terkorban akibat hipotermia. Kematian kanak-kanak tersebut terus berlaku ketika Israel terus menghalang kemasukan tempat perlindungan sementara ke Gaza, walaupun telah bersetuju untuk membenarkannya di bawah syarat perjanjian gencatan senjata.

Di Gaza, keadaan ini menjadi ancaman nyata berikutan sekatan bantuan telah mengakibatkan kekurangan kemudahan asas. Ramai keluarga tinggal dalam khemah atau perlindungan sementara yang tidak dapat melindungi mereka daripada kesejukan. Kekurangan bekalan perubatan, makanan mencukupi dan selimut menjadikan kanak-kanak Gaza sangat terdedah kepada hipotermia, seperti yang dibuktikan oleh laporan kematian bayi.

Dalam pada itu, ribuan rumah mudah alih (mobile home) masih terperangkap di persimpangan Rafah dengan Mesir, menunggu kebenaran Israel untuk memasuki wilayah Palestin yang dikepung. Dalam konteks Gaza, mobile home merujuk kepada tempat perlindungan sementara untuk mangsa konflik, seperti kabin kecil atau kontena yang diubah suai menjadi tempat tinggal sementara bagi mangsa yang kehilangan kediaman akibat serangan rejim Zionis.

Walaupun konflik Israel-Palestin ini masih belum bernoktah, media melaporkan bahawa terdapat sekolah yang telah mula dibuka untuk kali pertama sejak peperangan di Gaza berlaku. Kesan hangus terbakar pada dinding, kipas rosak dan papan hitam yang dilitupi dengan lubang peluru tidak mampu untuk memudarkan semangat anak-anak Palestin untuk menimba ilmu. Situasi dalam bilik darjah sudah pastinya menyentuh hati yang melihat apabila para pelajar duduk di atas lantai berlapikkan sejadah kerana ketiadaan kerusi dan meja. Walau bagaimanapun, pihak sekolah tetap berusaha sedaya upaya untuk menyediakan kelengkapan asas pengajaran dan pembelajaran kepada tenaga pengajar dan para pelajar mereka walaupun bekalan alat tulis adalah amat terhad dan kenaikan harganya yang mendadak.

Salah sebuah sekolah di Gaza dilaporkan telah menerima lebih daripada 400 orang pelajar sekolah rendah. Namun, nasib tidak menyebelahi ribuan lagi anak-anak Palestin yang lain. Hal ini kerana, kapasiti bilik darjah adalah sangat terhad rentetan permintaan yang tinggi daripada warga penduduk. Dalam hal ini pihak sekolah tidak mampu untuk memenuhi kesemua permintaan atas kekangan tersebut. Peperangan di Gaza mengakibatkan lebih daripada 788,000 anak-anak Palestin yang kini berisiko tidak mendapat pendidikan formal kerana lebih 90% institusi pendidikan di sana terjejas atau musnah akibat serangan. Bagaimanakah masa depan anak-anak ini? Situasi tersebut yang dilihat jauh berbeza daripada tanah tumpah darah kita, Malaysia seharusnya mendidik jiwa-jiwa anak muda agar mensyukuri nikmat kemerdekaan dan bertekad untuk menimba ilmu tanpa jemu.

Walaupun saban hari menghadapi situasi kemusnahan dan ancaman kehilangan nyawa yang berterusan, rakyat Palestin terus berjuang demi hak mereka untuk hidup dalam keamanan dan keadilan. Semangat perjuangan mereka adalah penolakan terhadap keganasan dan penindasan. Ia juga merupakan seruan kepada dunia agar tidak berdiam diri dalam menghadapi krisis kemanusiaan. Tanpa disedari, ia juga menjadi peringatan bahawa kita semua memiliki tanggungjawab untuk membantu mengakhiri penderitaan mereka dan mencapai keamanan.

 

 

Farhana Abd Hamid

Guru Bahasa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)