
Oleh Suriayati Baharom
JOHOR BAHRU – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi universiti pertama di Malaysia yang menerima pentauliahan OPITO Global Qualifications & Standards Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Awam.
Pentaulihan tersebut diterima ketika berlangsungnya Majlis Pentauliahan OPITO Global Qualifications & Standards yang diadakan bersempena Majlis Perasmian Pembangunan Bakat Johor dan Karnival Kerjaya pada 3 November 2024 lalu, bertempat di Persada, Johor Baharu.
Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim hadir mewakili universiti menerima pengiktirafan tersebut bagi kategori Institusi TVET Awam.
Pentauliahan itu telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pengerusi TVET Negara.
Pada majlis tersebut, UTHM turut menerima dua kenderaan daripada Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (Proton) untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran (PnP).
Untuk rekod, OPITO (Offshore Petroleum Industry Training Organization) menawarkan pelbagai kelayakan dan standard yang diiktiraf di peringkat global untuk memastikan kecekapan dan keselamatan tenaga kerja dalam industri tenaga.
Kelayakan tersebut dibangunkan dengan kerjasama pemegang kepentingan industri dan direka untuk memenuhi keperluan sektor tenaga antarabangsa.