PUTRAJAYA – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) antara universiti awam (UA) yang turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung pelaksanaan kerjasama Akses Terbuka Tesis dan Disertasi Universiti Awam Malaysia, yang diadakan pada 13 Februari 2025 lalu bertempat di Hotel Marriot-Putrajaya.

Sesi pertukaran dokumen persefahaman di antara wakil Jawatankuasa Naib-naib Canselor dan Rektor Universiti Awam, dengan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT dan Prof. Dato’ Dr. Azlinda Azman itu telah disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Pendekatan Akses Terbuka adalah berdasarkan kaedah baharu untuk mengurus dan menyebarkan aset bahan ilmiah penyelidikan melalui penggunaan teknologi digital.

Bagi tujuan tersebut, tesis dan disertasi UA pada ketika ini telah mula diuruskan oleh Perpustakaan-perpustakaan UA mengikut amalan Akses Terbuka namun akses adalah terhad kepada institusi masing-masing.

Pelaksanaan inisiatif Akses Terbuka Tesis dan Disertasi UA Malaysia itu adalah seiring dengan teras strategik KPT untuk memantapkan pendigitalan perkhidmatan bersepadu, stabil dan dinamik.

Jawatankuasa Inisiatif Akses Terbuka telah ditubuhkan di bawah Majlis Ketua Pustakawan UA (MKPUA) untuk menyediakan dasar dan garis panduan pelaksanaan Akses Terbuka Tesis dan Disertasi UA Malaysia.

Jawatankuasa ini telah dilantik oleh Ketua Pengarah KPT pada Julai 2024 dan dipengerusikan oleh Ketua Pustakawan UTHM, Zaharah Abd Samad dan turut dianggotai oleh Ketua-ketua Pustakawan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia serta Penasihat Undang-undang UTHM dan USM.

Lanjutan daripada perjanjian persefahaman itu, platform Malaysian Thesis Online (MyTO) akan diperkasakan sebagai repositori berpusat di peringkat kebangsaan bagi membolehkan akses kepada koleksi ini diberikan.

Pelaksanaan akses terbuka ini akan memberi impak yang positif kepada penyelidik dan juga institusi pendidikan tinggi di Malaysia.

Tesis dan disertasi yang boleh diakses secara terbuka memberikan manfaat seperti penyebaran pengetahuan secara meluas, kolaborasi dan inovasi, peningkatan visibiliti, keterbukaan dan transparensi, akses percuma untuk komuniti dan peluang menambah nilai tesis dan penjanaan pendapatan