Oleh Dr. Riyaz Ahmad Mohamed Ali, Prof. Madya Ir. Dr. Herdawatie Abdul Kadir

SELANGOR – Kumpulan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih juara keseluruhan dan dua hadiah saguhati ketika menyertai pertandingan akhir inovasi dan perniagaan “The GREAT Challenge Demo Day pada 23 Februari 2025 lalu.

Tiga daripada empat pasukan yang dihantar UTHM telah berjaya meraih tempat setelah berentap bersama 36 pasukan dari pelbagai universiti seluruh Malaysia.

Pasukan RoboBot terdiri daripada lima pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), yang diselia oleh Profesor Madya Ir. Dr. Herdawatie Abdul Kadir dinobat juara keseluruhan dan membawa pulang hadiah utama bernilai RM5000 setelah mempertaruhkan inovasi robot penyelesaian masalah yang dinamakan ‘MacyBot.’

Robot pintar itu direka khusus untuk mengedar ubat secara autonomi dan cekap di pusat penjagaan warga emas.

MacyBot disasarkan untuk melakukan penagihan ubat tepat pada masanya beserta mengurangkan beban kerja kakitangan pada kadar kesalahan sifar.

Pasukan ForgeX yang terdiri daripada lima pelajar dan diselia oleh Profesor Madya Dr. Abu Ubaidah Shamsudin pula berjaya memperoleh hadiah saguhati bernilai RM1 ribu.

Mereka mempertaruhkan robot pintar ‘Eggpal’ yang direka dengan pelbagai fokus termasuklah fungsi asas mengesan dan mengira bilangan telur selain menyahjangkit kawasan reban ayam.

Eggpal turut mempunyai kelebihan tersendiri apabila mampu melakukan aktiviti pengesan dan menghalau haiwan perosak seperti ular melalui penggunaan nada bunyi tahap ultrasonik.

Manakala Kumpulan ARISE yang terdiri daripada tiga pelajar FKEE juga diselia oleh Dr. Abu Ubaidah telah memperoleh hadiah saguhati bernilai RM1 ribu setelah mempertaruhkan inovasi robot perkhidmatan dengan tema ‘Ai-Powered Assistant Robot.’

Robot itu direka untuk ditempatkan di lapangan terbang dengan konsep ‘SMART Airport’ yang mempunyai ciri-ciri seperti butang kecemasan yang boleh menghubungi pihak berkuasa, butang mengesan kekosongan tandas di sekitar lapangan terbang, butang soalan lazim dan juga gerai fotografi bergerak yang membolehkan pelancong menggunakan perkhidmatan wifi bergerak untuk memuat naik gambar.

Untuk rekod, penganjuran pertandingan dengan kerjasama antara MRANTI, Katapult Asia, SCUTTLE Robotics Asia, Malaysia Productivity Corporation (MPC) dan Intel Corporation itu bertujuan membangunkan lebih banyak bakat dalam ilmu kemahiran robotik mudah alih autonomi serta membangunkan penyelesaian inovatif untuk menangani cabaran industri.

Pusat Teknousahawan Universiti (PTU), UTHM turut merakamkan penghargaan kepada semua pelajar yang telah berjaya mencipta robot inovasi yang mampu menyelesaikan masalah komuniti dan persekitaran.

Seiring dengan aspirasi Global Technopreneur University (GTU), PTU menyasarkan pembangunan keusahawanan teknologi yang mampu meningkatkan keyakinan dalam diri dan kemampuan pelajar untuk berfikir luar kotak bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat, selaras dengan agenda negara untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development).

Dengan pelaksanaan agenda tersebut, PTU berharap melalui pelaksanaan latihan dan ekosistem yang mampan, pelajar mampu menjadi penyedia kerjaya berbanding pencari kerja suatu hari nanti.