BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menutup tirai tahun 2024 dan membuka tirai tahun 2025 dengan melaksanakan program Tahfiz TVET bersama Madrasah Tahfiz Angkat pada 18 November 2024 lalu dan berakhir pada 1 Januari 2025.
UTHM mengorak langkah dalam pembangunan dan perkembangan aktiviti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar-pelajar huffaz yang sedang menuntut pengajian di Madrasah Tahfiz khususnya di sekitar negeri Johor.
Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ) dan Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC) selaku penganjur terus memperkukuhkan peranannya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan memperkasakan program tersebut.
Inisiatif itu bertujuan untuk melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja mahir dalam ilmu agama tetapi juga berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal dan vokasional.
Pihak ICRC telah melantik 14 sekolah dan madrasah tahfiz sebagai Madrasah Tahfiz Angkat bagi setiap fakulti dan pusat tanggungjawab (PTj) bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tahfiz untuk memilih program TVET di UTHM.
Seramai 160 pelajar tahfiz dari enam Madrasah Tahfiz sekitar Batu Pahat telah mengikuti latihan dan kemahiran TVET yang dikongsikan oleh enam fakulti dan PTj terlibat.
Tahfiz TVET biasanya merujuk kepada program yang mengintegrasikan pendidikan Islam dengan latihan vokasional iaitu memfokuskan kepada hafazan al-Quran (Tahfiz) dan pembangunan kemahiran praktikal (TVET).
Pendekatan ini direka untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan agama dan kemahiran yang boleh dipasarkan, membolehkan mereka menyumbang kepada masyarakat dalam pelbagai bidang.
Pengarah Program, Dr Hj Muhammad Suhaimi Datuk Hj Sulong berkata Tahfiz TVET adalah langkah awal untuk memperkasakan pelajar tahfiz dengan kemahiran teknikal yang relevan.
“Kami ingin memastikan mereka bukan sahaja menjadi huffaz tetapi juga memiliki kecekapan dalam bidang teknikal dan vokasional.
“Melalui program ini, diharapkan dapat melahirkan lebih ramai huffaz profesional yang bukan sahaja menguasai al-Quran tetapi juga mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi, sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan negara,” katanya.
Ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan tahfiz dengan memperkenalkan elemen TVET dalam kurikulum mereka.
*Latihan dan kemahiran TVET yang dikongsikan oleh enam fakulti dan PTj
| Bil. | TVET | Madrasah Tahfiz Angkat | Fakulti/Pusat Tanggugjawab |
| 1. | Halal TVET: Latihan Kemahiran Sertu | Akademi al-Quran Amalillah Cawangan Batu Pahat (AKMAL) | Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah |
| 2. | AI untuk Pelajar Tahfiz Senibina. | Institut Kemahiran Tahfiz Jawahir, Parit Raja | Pusat Pengajian Bahasa |
| 3. | Digital Entrepreneurship Business Plan | Madrasah Al-Hafizah Saidatina Khadijah, Muar | Pusat Pengajian Diploma |
| 4. | Asas Pendawaian Elektrik | Madrasah Tahfiz al-Jawahir | Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik |
| 5. | Baik pulih perkakasan elektrik | Madrasah Tarbiyah Addarunnafis, Penggaram | Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional |
| 6. | Asas Kerja Konkrit Untuk Pembinaan | Maahad Darul Huffaz al Imtiyaz, Parit Yaani | Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina |





