TANJUNG MALIM, 4 Februari 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalin kerjasama strategik dengan beberapa universiti di Uzbekistan dalam usaha memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan antarabangsa.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Niat (LoI) itu telah diadakan bersempena Forum Pendidikan Tinggi antara Malaysia dan Republik Uzbekistan bertemakan “Uzbekistan – Malaysia: Opportunities and Initiatives for Achieving Sustainable Development Goals in Higher Education” bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, UTHM telah memeterai MoU dengan Tashkent State Technical University bagi menjalin kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, dan inovasi teknologi.
Selain itu, UTHM turut menandatangani LoI dengan tiga universiti terkemuka di Uzbekistan iaitu Samarqand Davlat Arxitektura Qurilish Universiteti, Tashkent State Transport University dan Jizzakh Polytechnic Institute.
Kerjasama itu bertujuan untuk memupuk pertukaran pelajar dan tenaga pengajar, memperkasa penyelidikan bersama serta membangunkan program akademik yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, penganjuran forum tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.Beliau dalam ucapannya menekankan kepentingan jalinan strategik antara institusi pendidikan tinggi dalam memastikan pembangunan mampan dan kemajuan akademik yang lebih holistik.
“Kerjasama antara Malaysia dan Uzbekistan ini merupakan langkah signifikan dalam memperluas jaringan pendidikan tinggi serta memastikan pertukaran kepakaran dan teknologi antara kedua-dua negara,” ujar beliau.
Inisiatif itu sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pendidikan tinggi serantau dan global, sekali gus memperkukuh kedudukan institusi pengajian tinggi negara di peringkat antarabangsa.






