
KUALA LUMPUR, 18 Februari 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) meneruskan jalinan kerjasama lima tahun lagi sehingga tahun 2030 dalam aktiviti penyelidikan, penerbitan, penganjuran program, kursus, bengkel, latihan dan perundingan bagi memperkukuhkan paradigma tauhid selaras dengan misi universiti.
Kesinambungan kerjasama ini melibatkan aktiviti memberi kefahaman Islam yang sebenarnya berasaskan fahaman ahli sunnah wal jamaah demi menjaga kesucian ajaran Islam yang sebenar tanpa menyentuh perkara-perkara retorik atau menyimpang dari jalan yang ditetapkan.
Inisiatif itu selaras dengan titah Tuanku Sultan Johor pada tahun 2010 semasa menyempurnakan Majlis Multaqa Ulama’ dan Ilmuan Darul Ta’zim yang menyarankan agar kumpulan pemikir dan penulis Islam diwujudkan bagi memperkukuhkan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri Johor khasnya dan Malaysia amnya.
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM dan IKIM yang berlangsung di Dewan Sajian, IKIM telah diwakili Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Prof. Madya Dr Afandi Ahmad manakala IKIM pula diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adli.
Pengarah Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ), UTHM Prof. Madya Dr Khairun Nidzam Ramli berkata jalinan kerjasama bersama IKIM di peringkat persekutuan dalam usaha menyebarkan kefahaman tentang Islam secara global akan perluaskan lagi dari segi perkongsian ilmu, pengalaman dan sumber yang ada antara kedua-dua pihak demi manfaat yang besar dalam melahirkan generasi yang berkemahiran tinggi, berakhlak mulia dan berdaya saing di peringkat global berlandaskan paradigma tauhid.
“Sebagai umat Islam, kita perlu memperkukuhkan diri dengan ilmu akidah sebenar dan menjauhi segala unsur fahaman yang bertentangan dengan ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Untuk itu, wajib bagi umat Islam untuk mengenal akidah dan memahami serta mengikut fahaman sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah”, tambahnya lagi.
Pada majlis ringkas tersebut, UTHM melalui Pusat Hubungan Universiti dan Industri (ICRC), turut menyampaikan cenderamata berupa No. Plat Kenderaaan ‘UTHM 1610’ kepada pihak IKIM sebagai tanda penghargaan menjadi rakan strategik utama kepada UTHM.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. IKIM.fm (ikim.fm.my), 19 Februari 2025: IKIM METERAI MOU DENGAN UPSI, UTHM DAN IBFIM SEMPENA ULANG TAHUN KE-33
https://ikimfm.my/ikim-meterai-mou-dengan-upsi-uthm-dan-ibfim-sempena-ulang-tahun-ke-33/
2. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 19 Februari 2025: IKIM, UPSI, UTHM dan IBFIM perkukuh kerjasama strategik
3. Bernama (bernama.com), 19 Februari 2025: IKIM, UPSI, UTHM dan IBFIM Teruskan Usaha Membangun Kefahaman Islam Melalui MoU Bersama