Oleh Davies Anak Gendum, Muhammad Aiman Mohd Adzha, Siti Hazirah Sabri
BATU PAHAT – Program OneBlood: Donate Blood, Donate Love anjuran Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan pada 18 Januari lalu berjaya mengumpul sebanyak 65 beg darah untuk bekalan semasa tabung darah hospital.
Program dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Unit Tabung Darah, Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat yang diadakan di Dewan Seminar Al-Farabi, kampus induk itu merupakan inisitif Kor SISPA bagi menjalin kerjasama erat dengan pihak hospital.
Bertemakan Donate Blood, Donate Love, program itu diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah, sekali gus sebagai manifestasi kecemerlangan dalam memupuk semangat kesukarelawanan dan keprihatinan sosial.
Pelbagai strategi dinamik telah dirangka oleh Kor SISPA UTHM, termasuklah kempen kesedaran yang meluas, penyebaran maklumat secara sistematik serta penganjuran program pendermaan darah secara konsisten dan berstruktur.
Inisiatif itu bukan sahaja berperanan sebagai benteng utama dalam memenuhi keperluan bekalan darah di Pusat Darah Negara, malah ia turut menyemai nilai-nilai kemanusiaan yang luhur dalam diri setiap penderma, mencerminkan semangat kepedulian yang tinggi terhadap sesama insan.
Sementara itu, Pegawai Kadet Intermediate, Nur Adriana Abu Bakar selaku pengarah program turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program tersebut, termasuklah para penaja yang banyak memberi sokongan.
“Sambutan yang luar biasa ini membuktikan bahawa masyarakat, khususnya warga UTHM mempunyai kesedaran tinggi terhadap kepentingan menderma darah.
“Setiap titisan darah yang didermakan hari ini bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa, malah menjadi bukti kasih sayang dan keprihatinan kita sesama insan,” katanya.
Program Oneblood: Donate Blood, Donate Love bukan sekadar sebuah program kemanusiaan, malah menjadi lambang solidariti dan tanggungjawab sosial yang tinggi dalam kalangan warga universiti dan masyarakat.
“Diharapkan program seumpama ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan kelangsungan bekalan darah untuk mereka yang memerlukan.
“Sesungguhnya, setiap setitis darah yang didermakan membawa seribu satu harapan kepada penerimanya,” ujar Nur Adriana.


