Setiap pendidik memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan pelajar. Dalam konteks pendidikan tinggi, pensyarah bukan sahaja berperanan sebagai penyampai ilmu, tetapi juga sebagai pembimbing dan mentor yang memberi impak besar dalam kehidupan pelajar.
Pelajar sering menghadapi pelbagai cabaran seperti tekanan akademik, masalah peribadi, kesukaran menyesuaikan diri dan faktor ekonomi yang boleh menjejaskan prestasi mereka. Kadangkala, mereka gagal dalam kursus tertentu atau menghadapi masalah disiplin yang menghalang mereka daripada menunjukkan keupayaan sebenar. Dalam situasi ini, pendidik harus memberi ruang kepada pelajar untuk memperbaiki diri dan kembali ke landasan kejayaan.
Pendidikan bukan sekadar penyampaian ilmu, tetapi juga membentuk nilai-nilai murni seperti kesabaran, empati dan semangat juang. Walaupun pelajar sudah mencapai usia dewasa, mereka masih memerlukan bimbingan. Pensyarah bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan ilmu, tetapi juga membimbing dan menegur kesilapan mereka. Kesilapan pelajar bukan alasan untuk mengabaikan mereka, sebaliknya, pensyarah perlu memastikan mereka dibimbing dengan betul agar dapat memperbaiki diri.
Jika pelajar gagal dalam satu kursus, pensyarah tidak seharusnya melabelkan mereka sebagai lemah. Sebaliknya, mereka perlu mengenal pasti kelemahan pelajar dan mencari kaedah terbaik untuk membantu mereka bangkit semula. Pelajar yang gagal dalam satu aspek mungkin mempunyai kelebihan dalam aspek lain dan tugas pensyarah adalah mengenal pasti serta memupuk potensi tersebut.
Setiap pelajar mempunyai keunikan tersendiri. Pensyarah boleh membantu mereka mengenal pasti dan mengasah bakat mereka, sama ada dalam bidang akademik, penyelidikan, kepimpinan atau kemahiran insaniah. Kesilapan bukanlah kegagalan mutlak. Pensyarah boleh memberi peluang kepada pelajar untuk membetulkan kesilapan, baik dalam aspek akademik mahupun disiplin. Kadangkala, pelajar menghadapi masalah yang tidak dapat mereka selesaikan sendiri. Pensyarah yang bersedia mendengar dan memberi nasihat dapat membantu mereka mengatasi cabaran serta memberi dorongan untuk terus berusaha.
Pensyarah juga perlu bergerak seiring dengan perubahan masa. Kaedah pengajaran yang digunakan pada masa lalu mungkin tidak lagi sesuai dengan generasi pelajar masa kini yang lebih terdedah kepada teknologi dan pelbagai sumber pembelajaran. Oleh itu, pensyarah tidak seharusnya menyamakan pengalaman pembelajaran mereka dahulu dengan pendekatan yang digunakan hari ini. Mendidik dengan cara yang terlalu keras atau berpandukan pengalaman peribadi semata-mata tanpa mengambil kira konteks semasa boleh menjejaskan motivasi dan minat pelajar. Sebaliknya, pensyarah perlu mengamalkan pendekatan yang lebih inklusif, fleksibel, dan bersesuaian dengan keperluan pelajar masa kini, sambil mengekalkan disiplin dan nilai-nilai murni dalam pendidikan.
Seperti yang diungkapkan oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim dalam Majlis Amanat Naib Canselor 2025:
“Hidup sebagai pendidik, falsafah yang perlu kita pegang adalah, sentiasa beri peluang kepada pelajar kita. Tiada siapa pernah tahu apakah masa depan mereka, boleh jadi cerah atau sebaliknya. Namun dengan peluang yang kita berikan, mungkin mereka mampu buktikan bahawa, masa depan sangatlah cerah. Percaya pada mereka, beri bimbingan dan dorongan, dan teruskan berdoa. Saya masih teringat pesanan seorang pensyarah saya dahulu iaitu setiap orang wajar diberi peluang untuk belajar dan berkembang. Sama ada kita gunakan peluang itu untuk menjadi lebih baik atau sebaliknya. Beliau adalah pensyarah yang amat saya hormati sehingga kini. Kata-katanya memberi inspirasi kepada saya untuk terus membantu pelajar mencapai kejayaan mereka.” – Ruzairi
Apabila pelajar diberikan peluang untuk memperbaiki diri, mereka akan lebih bersemangat untuk belajar dan meningkatkan prestasi akademik. Mereka akan lebih menghargai kepercayaan yang diberikan dan berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan. Dengan bimbingan yang betul, pelajar akan lebih bersedia untuk menghadapi dunia pekerjaan dan kehidupan selepas universiti.
Setiap manusia berhak mendapat peluang untuk belajar dan berkembang, termasuk pelajar universiti yang sedang membentuk masa depan mereka. Pensyarah yang bersikap terbuka, penyabar, dan prihatin mampu membantu pelajar berkembang dengan lebih baik. Pendidikan yang sebenar bukan hanya mengajar untuk mendapatkan gred yang baik, tetapi juga memberi peluang untuk seseorang belajar dari kesilapan dan bangkit menjadi insan yang lebih baik. Dengan memberi peluang kepada pelajar, kita bukan sahaja membantu mereka mencapai kejayaan akademik tetapi juga membentuk generasi yang lebih berdaya tahan dan bertanggungjawab. Bukan ingin menambah beban kerja dan tanggungjawab pensyarah, tetapi ini merupakan nilai penting dalam membentuk generasi yang bertanggungjawab dan berdedikasi.
Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin
Jabatan Matematik dan Statistik
Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)