Oleh Suriawati Suparjoh, Dr. Suhaila Mohd Yassin

KULAI – Seramai 10 pelajar Sistem Informasi dari Universitas Brawijaya, Malang, Indonesia menzahirkan keprihatinan mereka dengan menyertai program khidmat masyarakat ‘BaktiSiswa@ Felda Sungai Sayong’ anjuran Kelab Teknologi Maklumat (ITC), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Pelajar-pelajar tersebut sedang dalam tempoh menjalani program mobiliti di UTHM terutama di FSKTM selama lima bulan, bermula dari Oktober 2024 lalu sehingga Februari 2025.

Program yang berlangsung pada 11 Januari 2025 lalu di Masjid Jamek Ar Riduan, Felda Sungai Sayong, Kulai itu turut disertai oleh 26 ahli jawatankuasa ITC yang juga terdiri daripada beberapa pelajar bukan beragama Islam.

Mereka turut dibimbing oleh penasihat kelab ITC, Suriawati Suparjoh serta penyelaras mobiliti FSKTM, Dr. Suhaila Mohd Yasin.

Program khidmat komuniti itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk membantu masyarakat setempat, selain untuk mengenali cara hidup dan budaya Masyarakat tempatan melalui aktiviti yang dilaksanakan.

Ketibaan kumpulan pelajar tersebut telah disambut mesra oleh jawatankuasa Masjid Jamek Ar Riduan dalam satu majlis ringkas.

Pengerusi Masjid Jamek Ar Riduan, Ustaz Zainudin Asan turut berbesar hati menerima kehadiran para pelajar FSKTM dan sempat menitip beberapa pesanan dan nasihat di dalam ucapannya.

Program diisi dengan aktiviti gotong-royong pembersihan kawasan-kawasan sekitar dalam dan luar masjid serta kawasan sekolah agama yang berhampiran.

Mereka melakukan kerja-kerja seperti membersihkan cermin tingkap, mencuci tandas dan koridor masjid, membersihkan kawasan berkarpet, melipat dan menyusun sejadah serta telekung.

Turut diadakan, sesi ceramah motivasi yang disampaikan oleh Prof. Ts. Dr Hairulnizam Mahdin dari Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web, FSKTM.

Ceramah tersebut dihadiri oleh ibu bapa dan anak-anak dalam kalangan penduduk Felda Sungai Sayong.

Selain itu, program tersebut turut diisi dengan sesi cabutan bertuah dan permainan berkumpulan bagi menghargai dan merapatkan lagi hubungan dengan penduduk setempat yang hadir.

Menariknya, program khidmat masyarakat itu turut mendapat sokongan dua persatuan kebajikan (NGO) iaitu PEKASIH Johor yang diketuai oleh Jaafar Matek dan Pertubuhan Kebajikan Satu Hati Malaysia yang diketuai oleh Faizul Abd Ghani.

Kedua-dua pihak telah menyumbang hamper dan hadiah cabutan bertuah, bersama dua bakul nenas madu untuk diagihkan kepada semua yang terlibat menjayakan program.