Pengurusan kewangan adalah aspek penting dalam kehidupan setiap individu, termasuk suri rumah tangga. Di Malaysia, suri rumah memainkan peranan penting dalam menjaga kestabilan keluarga. Namun, ramai di antara mereka menghadapi cabaran dalam mengurus kewangan kerana kekangan pendapatan, kurangnya pendidikan kewangan dan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2024, sekitar 3 juta wanita memilih untuk menjadi suri rumah. Dengan hanya satu sumber pendapatan, keluarga berisiko menghadapi tekanan kewangan terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Inflasi dan peningkatan kos barang asas seperti makanan, bahan bakar dan pendidikan turut memburukkan keadaan.
Pada masa yang sama, ramai suri rumah tidak mendapat pendedahan yang mencukupi dalam pendidikan atau pengetahuan berkaitan kewangan. Kajian oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2021 menunjukkan bahawa hanya 36% rakyat Malaysia memiliki tahap literasi kewangan yang mencukupi. Kekurangan pengetahuan ini menyebabkan suri rumah sukar merancang bajet, mengawal perbelanjaan dan menabung untuk keperluan masa depan.
Ini ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin tinggi di kawasan bandar dan luar bandar yang menambah tekanan kepada suri rumah. Menurut Indeks Harga Pengguna (CPI) yang diterbitkan oleh DOSM, harga makanan dan minuman bukan alkohol meningkat sebanyak 6.8% pada 2023 berbanding tahun sebelumnya. Hal ini memberi kesan langsung kepada perbelanjaan keluarga, terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak kecil.
Akhir sekali, ramai suri rumah tidak mempunyai tabungan atau pelaburan untuk masa depan. Ketiadaan tabungan ini menjadikan mereka terdedah kepada risiko kewangan, seperti kos perubatan yang tidak dijangka atau kehilangan pendapatan pasangan. Menurut laporan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada awal 2023, 35% rakyat Malaysia yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, menunjukkan kurangnya kesedaran tentang pentingnya persediaan kewangan jangka panjang.
Berdasarkan cabaran yang dihadapi, penulis ingin mencadangkan beberapa strategi yang boleh diambil oleh wanita untuk menangani isu ini.
Pertama, adalah digalakkan agar suri rumah diberikan pendidikan kewangan bagi membantu mereka menguruskan kewangan keluarga dengan lebih baik. Kerajaan, NGO dan institusi kewangan boleh menawarkan kursus atau bengkel percuma mengenai pengurusan bajet, cara menabung dan pelaburan asas. Sebagai contoh, program seperti “Program Celik Wang” oleh BNM dapat membantu suri rumah memahami konsep kewangan dengan lebih mendalam.
Seterusnya, suri rumah juga hendaklah memainkan peranan aktif dalam merancang bajet keluarga. Dengan membuat senarai perbelanjaan bulanan, mereka dapat mengenal pasti keperluan dan kehendak, serta mengelakkan pembaziran. Aplikasi pengurusan kewangan seperti “Pocket Guard” atau “YNAB” juga boleh digunakan untuk membantu memantau perbelanjaan harian.
Pada masa yang sama, suri rumah boleh mempertimbangkan untuk menjana pendapatan tambahan melalui kerja sambilan atau perniagaan dari rumah. Platform e-dagang seperti Shopee, Lazada atau media sosial seperti Instagram dan Facebook boleh digunakan untuk memasarkan produk atau perkhidmatan. Selain itu, mereka juga boleh menyertai program seperti ‘eRezeki’ dan ‘GLOW’ oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang menawarkan peluang pekerjaan dalam talian.
Seterusnya, sebagai langkah keselamatan, adalah sangat penting bagi suri rumah untuk memulakan simpanan. Ianya boleh dimulakan dengan hanya 10% daripada jumlah pendapatan isi rumah setiap bulan ke dalam akaun simpanan berfaedah tinggi. Selain itu, pelaburan kecil-kecilan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau unit amanah yang lain juga boleh dipertimbangkan untuk meningkatkan nilai wang simpanan.
Akhir sekali, suri rumah boleh membantu mengurangkan hutang dengan memastikan pembayaran hutang dilakukan secara konsisten dan mengelakkan pinjaman baharu yang tidak perlu. Rundingan dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga boleh membantu merancang strategi untuk melangsaikan hutang.
Pengurusan kewangan yang baik adalah kunci kepada kesejahteraan keluarga. Suri rumah di Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dalam mengurus kewangan, tetapi dengan pendidikan, perancangan yang baik dan sokongan daripada pelbagai pihak, mereka dapat mengatasi cabaran ini. Langkah-langkah seperti meningkatkan literasi kewangan, merancang bajet, menjana pendapatan tambahan dan membina tabungan adalah usaha penting yang boleh diambil. Dengan pendekatan yang betul, suri rumah boleh memainkan peranan yang lebih signifikan dalam memastikan kestabilan kewangan keluarga dan membina masa depan yang lebih cerah.

Dr. Khadijah Md Ariffin
Pensyarah Kanan
Jabatan Pengurusan Harta Tanah
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
