Oleh Ts. Inv. Dr. Shelena Soosay Nathan
MUAR – Seramai 92 pelajar dari lapan sekolah sekitar daerah Muar dan Tangkak telah menyertai program ‘Break the Bias in STEM 2025’ anjuran Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 21 Februari 2025 lalu bertempat di STMicroelectronics Muar.
Penganjuran oleh kumpulan fokus ICT for Technology Humanization (ITecH) dan Mathematics and Application (MAP) dengan kerjasama syarikat pelajar Makerspace UTHM, Attribot Technology dan 3D Lab serta STMicroelectronics itu melibatkan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Setongkat, SK Bakri Batu 5, SK Kesang, SK Bukit Gambir, SK Tg Gading, SK Sawah Ring, SK Parit Bunga dan SRJK (T) Jalan Khalidi.
Menurut Ketua Kumpulan Fokus ITecH, CeDS, Ts. Inv. Dr. Shelena Soosay Nathan, program Break the Bias in STEM merupakan program pemindahan ilmu dan perkongsian pengalaman yang interaktif bagi mendedahkan murid sekolah dengan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan cara yang lebih menarik dan interaktif.
“Program bertaraf antarabangsa yang bertemakan ‘STEM Your Way’ dianjurkan sempena sambutan Hari Antarabangsa untuk Wanita dan Kanak-kanak Perempuan Dalam Sains.
“Tujuan utama penganjuran program adalah untuk memberi motivasi keperluan bidang pendidikan dan pengajian berteraskan STEM khusus untuk semua tidak mengira jantina dan budaya bangsa,” katanya.
Peserta berpeluang menyertai pertandingan STEM seperti perlawanan kereta Microbit, dron serta turut didedahkan dengan persekitaran pekerjaan di dalam STMicroelectronics yang dilengkapi dengan penggunaan teknologi pengesan dan robotik.
Penganjuran program melalui kerjasama akademik dan industri itu dapat meningkatkan lagi keterlihatan dan komitmen kumpulan fokus di CeDS melalui inisiatif memupuk minat dan minda positif terhadap STEM terutama dalam kalangan pelajar di sekolah angkat sekitar Muar dan Tangkak.
Sementara itu, majlis perasmian program kolaborasi tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara CeDS dan STMicroelectronics telah disempurnakan oleh CS Tan, Pengurus Besar STMicroelectronics Muar.
Pihak STMicroelectronics turut menaja jamuan makan tengah hari dan cenderahati kepada semua peserta yang hadir, selain turut memberi hadiah istimewa kepada peserta yang berjaya dalam semua pertandingan yang dilaksanakan.
Turut hadir ke program kali kedua itu, wakil guru sekolah terlibat dan para pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Muar dan Tangkak serta pengurus STMicroelectronics, Shahrom Tumin.


