Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Johor memainkan peranan penting dalam ekosistem perniagaan antarabangsa, terutamanya dengan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Inisiatif ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura dan pada masa sama menawarkan peluang besar kepada PKS tempatan untuk berkembang di peringkat global.
PKS merupakan tulang belakang ekonomi Johor, menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri. Menurut Laporan Ekonomi 2021/2022 Negeri Johor, KDNK Negeri dianggarkan mencapai RM131,056 juta pada tahun 2021, dengan pertumbuhan sebanyak 2.4%. Walaupun laporan ini tidak menyatakan secara khusus sumbangan PKS, adalah diketahui umum bahawa PKS memainkan peranan penting dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, yang merupakan komponen utama ekonomi negeri.
Penubuhan JS-SEZ dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi PKS Johor di rantau ini. JS-SEZ menawarkan peluang besar kepada PKS untuk memperluas operasi mereka di peringkat antarabangsa dengan memanfaatkan kedudukan strategik Johor dan Singapura sebagai pintu masuk utama kepada ekonomi global. PKS di Johor boleh memanfaatkan kedekatan dengan Singapura, yang merupakan salah satu pusat perdagangan dan kewangan global. Singapura berfungsi sebagai hab eksport utama, membuka pintu kepada PKS untuk mengakses rangkaian perniagaan antarabangsa dan memasarkan produk mereka kepada pelanggan luar negara. Selain itu, JS-SEZ dirancang dengan infrastruktur moden yang menyokong logistik dan rantaian bekalan, seperti pelabuhan, lapangan terbang dan jalan pengangkutan yang cekap. Contohnya Laluan Transit Rapid (RTS) Johor-Singapura yang dijangka memudahkan pergerakan barang dan tenaga kerja antara kedua-dua wilayah, seterusnya meningkatkan produktiviti PKS.
Walaupun terdapat peluang yang signifikan, PKS di Johor menghadapi cabaran seperti saiz operasi yang kecil dan sumber yang terhad, yang boleh mengehadkan kemampuan mereka untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan. Menurut laporan Bank Negara Malaysia, secara umumnya PKS kurang dalam aspek penggunaan teknologi dan akses kepada pasaran global. Penggunaan teknologi canggih dalam kalangan PKS masih rendah, menghalang mereka daripada mencapai kecekapan dan produktiviti yang lebih tinggi.
Untuk mengatasi cabaran ini, usaha untuk mempertingkatkan daya saing PKS boleh digiatkan lagi seperti konsep satu daerah satu industri dengan meliputi kawasan penyertaan yang lebih besar. Usaha akan ditujukan ke arah mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam proses industri luar bandar, memperoleh pentauliahan kualiti dan menaik taraf promosi pasaran dengan mewujudkan hubungan dengan pelanggan korporat dan antarabangsa. Selain itu, penubuhan dana khas untuk PKS, termasuk pinjaman mikro dan skim geran inovasi boleh membantu PKS mengatasi kekangan modal.
Dengan memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh JS-SEZ, PKS Johor boleh menjadi pemacu utama dalam meningkatkan daya saing ekonomi negeri dan negara. Walaupun terdapat cabaran seperti kekangan modal dan persaingan pasaran, langkah-langkah strategik seperti meningkatkan akses kepada teknologi, menyediakan insentif dan memperkukuhkan kerjasama rentas sektor dapat membantu PKS mencapai potensi penuh mereka. Data menunjukkan bahawa 98.5% daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia adalah PKS, menyumbang sebanyak 38.2% kepada KDNK negara. Oleh itu, peranan PKS dalam JS-SEZ bukan sahaja penting untuk Johor, tetapi juga untuk pembangunan ekonomi Malaysia secara keseluruhan. Dengan perancangan yang teliti dan pelaksanaan yang berkesan, JS-SEZ mampu menjadi modal kejayaan kerjasama ekonomi serantau yang memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

Dr. Zurina Samsudin
Pensyarah Kanan
Johor Business School (JBS)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Sinar Harian (muka surat: 21), 4 Februari 2025: Ekosistem perniagaan antarabangsa JS-SEZ beri peluang PKS Johor berkembang

2. Utusan Malaysia (muka surat: 18), 13 Februari 2025: Peluang PKS maju di peringkat antarabangsa

3. Utusan (utusan.com.my), 13 Februari 2025: Peluang PKS maju di peringkat antarabangsa
