Oleh Prof. Madya Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah, Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited dalam membangunkan ekosistem keusahawanan yang mampan bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berdaya saing sebagai usahawan.

Melalui pelbagai inisiatif strategik, universiti ini menyediakan platform lengkap untuk pelajar memulakan kerjaya mereka dalam bidang keusahawanan, antaranya dengan menubuhkan Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) sebagai nadi ekosistem keusahawanan di UTHM.

Pusat itu memainkan peranan penting sebagai pusat pengurusan utama untuk semua aktiviti berkaitan keusahawanan.

Fungsi utamanya adalah memastikan ekosistem keusahawanan di universiti ini terus mampan, selain menjadi hab sokongan untuk pelajar dan komuniti universiti.

Menurut Pengarah PTU, Prof. Madya Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah, pusat itu turut menyediakan panduan strategik dan pelbagai kemudahan untuk membantu pelajar merealisasikan idea perniagaan mereka.

“Sebagai langkah memperluaskan sokongan keusahawanan, UTHM telah mewujudkan inkubator keusahawanan di setiap fakulti.

“Inkubator ini berfungsi sebagai pusat latihan dan pembangunan usahawan, lengkap dengan kemudahan moden serta peralatan terkini.

“Pelajar diberi peluang untuk mengembangkan idea perniagaan mereka dengan bimbingan dan sokongan penuh daripada pihak universiti,” katanya.

Manakala bagi memastikan pelajar menerima bimbingan yang berkualiti, UTHM menyediakan mentor keusahawanan yang terlatih dan berpengalaman dalam pelbagai bidang.

Para mentor itu bukan sahaja membantu pelajar dalam aspek teknikal dan pengurusan perniagaan tetapi juga memberi motivasi dan inspirasi untuk terus maju.

UTHM turut menawarkan pelbagai kursus keusahawanan yang relevan dengan keperluan pasaran semasa.

Kursus-kursus itu direka untuk membekalkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi memulakan dan mengurus perniagaan dengan berkesan.

Sementara itu, pelajar juga didedahkan kepada konsep keusahawanan sosial dan inovasi.

Sebagai dorongan kepada pelajar yang ingin memulakan perniagaan, UTHM menawarkan dana permulaan kepada syarikat pemula dengan jumlah minimum antara RM500 hingga RM3,000.

Dana itu bertujuan membantu pelajar merealisasikan idea perniagaan mereka, selain memberi sokongan kewangan untuk memulakan operasi.

UTHM turut memperkenalkan program Work@Campus, yang memberi peluang kepada pelajar untuk bekerja sambil belajar.

Program itu bukan sahaja membantu pelajar menjana pendapatan tetapi juga memberi mereka pengalaman praktikal dalam pengurusan perniagaan dan keusahawanan.

Sebagai usaha memperkukuhkan ekosistem keusahawanan, UTHM menjalinkan kerjasama erat dengan pihak industri dan alumni.

Kerjasama itu membuka peluang kepada pelajar untuk mendapatkan akses kepada sumber dan rangkaian yang lebih luas, selain menerima bimbingan daripada usahawan berpengalaman.

Tambah Dr. Nazirah, dengan pelbagai inisiatif ini, UTHM membuktikan komitmennya untuk melahirkan graduan yang mampu bersaing di peringkat global.

“Ekosistem keusahawanan yang dibangunkan bukan sahaja menjadi pemangkin kepada kerjaya pelajar tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Ini menyokong Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan (PTK-IPT) 2021-2015 yang mana ia merupakan salah satu aspirasi Pelan Pembangunana Pendidikan Malaysia 2015-2015, yang bertujuan untuk melahirkan graduan yang seimbang dan holistik, mempunyai pemikiran keusahawanan dan menjadi ‘penjana perkerjaan,’ bukan hanya sekadar ‘pencari pekerjaan,’ kata Dr. Nazirah.