BATU PAHAT – Sebagai tanda prihatin terhadap kebajikan pelajarnya, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan program ‘Jom Balik Kampung 4.0’ dan ‘Amal Transit’ bagi membantu pelajar Semenanjung dan Borneo pulang ke kampung halaman masing-masing dengan selesa dan selamat.

Program ‘Jom Balik Kampung 4.0’ di bawah kendalian Persatuan Mahasiswa/i Sabah UTHM (PERMAS) dan Persatuan Mahasiswa/i Sarawak UTHM (MAHASS) itu melibatkan penghantaran seramai 65 pelajar ke lapangan terbang Kuala Lumpur International Airport (KLIA).

Manakala bagi pelajar Semenanjung, UTHM melalui program ‘Amal Transit’ kendalian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) turut menghantar seramai 129 pelajar ke terminal bas berdekatan seperti Batu Pahat, Muar dan Ayer Hitam.

Dengan semangat kebersamaan yang terus mekar, program yang bermula pada 8 hingga 18 Februari ini bukan sekadar perjalanan pulang ke kampung halaman tetapi juga sebagai satu usaha dalam membina jaringan sosial yang kukuh dan menyatukan hati pelajar di perantauan.

Suasana ceria dan semangat kekitaan yang terpancar di wajah mereka sekali gus mempamerkan betapa kuatnya hubungan kekeluargaan dalam kalangan pelajar UTHM yang berada di perantauan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq turut hadir bertemu dan menyaksikan persiapan pelajar untuk menaiki bas yang disediakan.

Kehadiran beliau bukan sahaja menyuntik semangat kepada para peserta, malah turut mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong kebajikan pelajar dari Borneo.

Sementara itu, pihak Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) dan MPP juga turut mengagihkan santapan ringan kepada para pelajar terbabit sebagai bekalan menghadapi perjalanan yang jauh ke kampung halaman.