Tanggal 21 Februari saban tahun merupakan hari yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Hari Bahasa Ibunda. Bahasa ibunda merupakan bahasa yang awal dikuasai dan dituturkan oleh setiap individu sejak kecil. Ia turut memainkan peranan yang penting dalam memupuk sikap kasih sayang dan kekeluargaan. Di Malaysia, majoriti masyarakat Melayu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Namun begitu, terdapat beberapa isu dan solusi yang perlu dikupas tentang bahasa ibunda sebagai simbol kasih sayang dan kekeluargaan.
Persepsi terhadap bahasa ibunda
Terdapat pelbagai persepsi golongan muda terhadap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Kebelakangan ini, golongan muda mempunyai sikap tidak mengendahkan bahasa Melayu. Mereka merasakan bahawa menggunakan bahasa Melayu tidak terkini malah, mereka memilih untuk menggunakan bahasa lain terutamanya bahasa yang lebih popular dan menjadi trend dalam komunikasi seharian.
Sehubungan itu, peranan keluarga perlulah diutamakan dalam mendidik kanak-kanak dan remaja menggunakan bahasa ibunda terutamanya penggunaan bahasa Melayu yang betul bermula dari rumah. Dengan itu, nilai kasih sayang melalui komunikasi dengan bahasa dapat diterap dalam keluarga.
Lambakan karya bacaan tanpa menggunakan bahasa ibunda
Walaupun bahasa ibunda merupakan alat untuk menyemai kasih sayang dan kekeluargaan, namun perkara ini perlu dibincangkan tentang alat yang digunakan untuk menyampaikan maklumat bahasa itu sendiri, iaitu karya bacaan. Kini, terdapat lambakan bahan bacaan yang menggunakan bahasa asing tanpa terjemahan bahasa ibunda.
Kandungan bahan bacaan yang terdiri daripada pelbagai bentuk sama ada fizikal atau digital perlulah diterbitkan dalam bahasa ibunda. Setiap bahan bacaan pasti mempunyai nilai yang mahu disampaikan kepada pembaca. Lebih-lebih lagi bacaan tersebut dikaitkan dengan nilai kasih sayang dan kekeluargaan. Oleh itu, pembaca dalam kalangan remaja, dapat mempraktikkan nilai tersebut dan hal ini turut membantu dalam hubungan kekeluargaan untuk berkomunikasi dengan lebih baik dan berkesan.
Penggunaan bahasa asing yang lebih dominan
Salah satu isu lain dalam mempertahankan bahasa ibunda sebagai kasih sayang dan kekeluargaan adalah penggunaan bahasa asing yang lebih dominan. Kanak-kanak dan remaja generasi kini lebih terdedah kepada media dan teknologi yang kebanyakannya menggunakan bahasa asing. Lebih banyak masa yang diperuntukkan untuk skrin tersebut, maka lebih banyak lagi penguasaan bahasa ibunda yang akan terkesan.
Untuk mengatasi isu ini, ibu bapa memainkan peranan yang penting dengan menggalakkan penggunaan bahasa ibunda dalam aktiviti harian keluarga di rumah seperti bercerita, bermain dan berbincang menggunakan bahasa ibunda. Bukan sahaja nilai bahasa ibunda dapat menyubur dalam keluarga namun hubungan kekeluargaan yang lebih akrab juga dapat diwujudkan antara anak-anak dan ibu bapa.
Dunia tanpa sempadan
Pelbagai bahasa bersaing untuk menjadi bahasa utama dengan dunia tanpa sempadan. Terutamanya dengan kebanjiran budaya asing seantero dunia menjadikan golongan muda lebih tertumpu untuk mempelajari bahasa asing. Situasi ini pastinya menjejaskan rasa cinta terhadap bahasa ibunda terutamanya untuk mengekspresikan emosi dalam perhubungan kekeluargaan. Oleh itu, pihak tertentu perlu memainkan peranan dalam mempromosikan serta memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda seiring dengan bahasa-bahasa lain di mata dunia khususnya penggunaan maksima dalam platform digital.
Perubahan demografi dan urbanisasi
Perubahan demografi dan urbanisasi dalam keluarga juga merupakan salah satu isu dalam penggunaan bahasa ibunda. Keluarga yang berpindah ke bandar besar sering kali terdedah kepada persekitaran yang mana bahasa asing lebih dominan. Urbanisasi juga menyebabkan kehilangan identiti budaya dan bahasa ibunda. Kurangnya sokongan dari komuniti untuk mempromosikan penggunaan bahasa ibunda turut menambah jerih masalah ini.
Untuk mengatasi isu ini, program komuniti yang mempromosikan bahasa dan budaya ibunda boleh diadakan. Menyediakan platform dalam talian untuk keluarga berinteraksi dalam bahasa ibunda juga boleh membantu ahli keluarga berkomunikasi dengan bahasa ibunda yang betul.
Media sosial dan teknologi
Pengaruh media sosial dan teknologi juga merupakan isu yang signifikan. Media sosial dan aplikasi komunikasi yang lebih banyak menggunakan bahasa asing menyebabkan kanak-kanak dan remaja lebih cenderung menggunakan bahasa asing. Lebih membimbangkan lagi, ada antara anak-anak yang menggunakan bahasa ‘alien’ atau jargon dengan meniru bahasa asing yang ditonton melalui YouTube.
Untuk mengatasi isu-isu ini, kandungan digital dan permainan video dalam bahasa Melayu perlu diwujudkan dan dibangunkan. Kita juga tidak dapat lari dalam penerimaan kemajuan teknologi. Oleh itu, kempen di media sosial perlu dilaksanakan dalam mempromosikan penggunaan bahasa ibunda yang boleh membantu dalam meningkatkan penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.
Memartabatkan bahasa ibunda
Penggunaan bahasa ibunda di rumah adalah penting untuk memelihara identiti budaya dan mengukuhkan hubungan kekeluargaan. Dengan mengatasi isu-isu yang dihadapi melalui faktor dan solusi yang telah dibincangkan, kita dapat memastikan bahasa ibunda terus mekar dan berkembang dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Bahasa ibunda bukan sahaja sebagai alat komunikasi, tetapi juga simbol kasih sayang dan kekeluargaan yang perlu dipelihara dan dihargai sebaiknya.
Marilah kita bersama terus mengembleng usaha tanpa mengira latar belakang untuk terus membantu memartabatkan bahasa ibunda sejajar dengan seruan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan kita agar setiap kaum di negara ini melupakan pertelingkahan mengenai bahasa sebaliknya menguatkan iltizam dan mengambil satu pendirian serta komitmen untuk memperkasakan bahasa Melayu’.

Nor Athira Md Amin
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Nurulisyazila Othaman
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Sinar Harian (muka surat: 20), 18 Februari 2025: Bahasa ibunda simbol kasih sayang dan kekeluargaan

