BATU PAHAT – Naib Canselor, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim menyeru warga kampus untuk bersama menjayakan agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) atau TVET UTHM bagi melahirkan lebih ramai lagi tenaga mahir, inovator dan pemimpin industri yang akan membawa negara ke tahap yang lebih tinggi.

Seruan tersebut dibuat ketika berlangsungnya Majlis Amanat Tahun 2025 secara fizikal dan online pada 25 Februari bertempat di Big Stage, Aras 2, Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.

Bagi tahun 2025, UTHM telah menetapkan lapan keberhasilan utama yang akan menjadi pemacu kepada kejayaan TVET UTHM.

Keberhasilan utama itu termasuklah program akademik yang relevan pilihan pelajar dan industri, graduan kompeten dan berdaya usahawan, pengukuhan ekosistem technopreneur bagi membimbing graduan ke arah kejayaan sebagai usahawan, penjanaan pendapatan baharu melalui inovasi dan penyelidikan dalam TVET, peningkatan pakar rujuk dan penghayatan nilai API (Amanah, Profesional, Inovatif), kualiti pengiktirafan universiti di dalam dan luar negara, Transformasi SPEED dalam tadbir urus dan pemerkasaan Environmental, Social & Governance (ESG) kampus.

Menurut beliau bagi mencapai keberhasilan ini, kerjasama semua pihak amatlah diperlukan.

“Kita perlu merapatkan hubungan dengan alumni, institusi pendidikan lain, industri, agensi kerajaan dan komuniti agar transformasi TVET UTHM menjadi lebih menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya.

Dato’ Ruzairi dalam amanatnya turut melahirkan rasa syukur kerana pada tahun 2024, UTHM telah mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan dalam pelbagai bidang.

“Pencapaian ini adalah hasil usaha gigih seluruh warga universiti dalam memastikan kecemerlangan akademik, penyelidikan, keusahawanan, kebajikan pelajar, serta tadbir urus yang berkesan.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan ini iaitu warga akademik, penyelidik, industri, rakan strategik dan UNESCO-UNEVOC yang terus mempercayai keupayaan UTHM sebagai pusat kecemerlangan TVET di peringkat antarabangsa,” katanya.

Turut berlangsung, penyerahan Buku SKTU 2025 UTHM oleh Dato’ Naib Canselor kepada Ketua Fokus, Penyampaian Sijil Penghargaan Penulis Rencana Akhbar UTHM 2024, Pelancaran ‘Kempen Sehari Seringgit Jerrr’ dan Penyampaian Sumbangan Wakaf Keperluan Asas Dapur Pelajar Tanpa Asrama kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM dan Pra-Pelancaran Projek UTHM Industry Playground.

Hadir sama ke majlis amanat tersebut, Prof. Ir. Dr. Mohd Amri Lajis, Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh serta Pegawai-pegawai Kanan universiti.