JERTEH – Bagi meneruskan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan inovasi komponen pesawat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Aerospace Technology Systems Corp Sdn Bhd (ATSC) telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bertempat di Pangkalan Udara Gong Kedak pada 21 Januari 2025 lalu.

UTHM telah diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, manakala ATSC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Lt. Kol. Dato’ Haji Mohd Fadzar Haji Suhada TUDM (Bersara).

MoU yang diadakan bersempena dengan majlis penyerahan pesawat Su-30MKM, M52-01 oleh ATSC kepada pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi 10 tahun Service Life Extension Program (SLEP) itu turut disaksikan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan Malaysia.

MoU itu merupakan kesinambungan kerjasama UTHM dengan ATSC melalui projek-projek konsultasi yang telah dilakukan sebelum ini.

Menurut ketua projek, Ir. Dr. Jamiluddin Jaafar yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), projek-projek konsultasi sebelum ini melibatkan analisis perincian bahan yang digunakan oleh pihak Rusia terhadap komponen-komponen Su-30 MKM.

Dengan pengetahuan dan kepakaran dari universiti, penentuan bahan alternatif dari blok barat telah dijalankan bagi menggantikan bahan asal dari negara Rusia tersebut.

“Inisiatif ini diambil bagi mengatasi kekangan yang dihadapi oleh pihak ATSC dan TUDM mendapatkan alat-alat ganti tersebut, selain kesan daripada konflik yang sedang berlaku di rantau Rusia pada ketika ini.

“Selepas pemilihan bahan dijalankan, aktiviti seterusnya melibatkan pengukuran semula komponen-komponen tersebut, pembangunan lukisan kejuruteraan komponen, analisis kekuatan bahan dan komponen serta fabrikasi kembali komponen tersebut,” jelas beliau.

Beberapa komponen telah berjaya dihasilkan dan kini sedang menunggu kelulusan oleh TUDM untuk diguna pakai pada Su-30MKM, antaranya Nose Landing Gear Buckle No.16, Bracket for Tank No. 1, Bracket for Tank No. 2 dan perincian bahan untuk Static Dischager.

Beberapa projek konsultasi juga sedang berjalan untuk komponen Su-30MKM seperti Rib 1 dan Rib 2, dengan harapan dapat menjurus kepada pengurangan kebergantungan ATSC dan TUDM terhadap negara luar.

Tambah Dr. Jamiluddin, MoU yang ditandatangani itu akan merancakkan lagi kerja-kerja konsultasi sedia ada yang merangkumi skop dan keistimewaan kepada kedua-dua belah pihak dalam bidang seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta fabrikasi bagi kerja berkaitan komponen mekanikal dan struktur pesawat Su-30MKM, pemodenan pesawat Su-30MKM dan pengurusan komponen usang (obselences issue) pesawat Su-30MKM.

“Selain itu, MoU ini juga memberi akses kepada UTHM terhadap harta intelek untuk empat produk yang telah berjaya dihasilkan untuk digunakan pada pesawat Su-30MKM dan juga beberapa produk yang masih di peringkat pembangunan.

“MoU ini juga melibatkan pembangunan modal insan bagi penyelidik dan jurutera ATSC dalam mengikuti pengajian tinggi di peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran dalam pelbagai bidang pengajian,” katanya.

Hadir sama ke MoU itu, Tan Sri Ahmad Johan, Pengerusi National Aerospace & Defence Industries (NADI); Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Panglima Tentera Udara, (TUDM); Prof. Ts. Dr. Amir Khalid, Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP); wakil staf FKMP dan wakil Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), UTHM.

UTHM telah diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, manakala ATSC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Lt. Kol. Dato’ Hj. Mohd Fadzar Hj Suhada TUDM (Bersara).

Antara komponen pesawat yang dihasilkan.