Oleh Dr. Muhamad Helmy Sabtu, Mohamad Asraff Damat

MUAR & MERSING – Sebanyak 470 kilogram sampah berjaya dikutip melalui program pembersihan dua kawasan pantai iaitu Pantai Tanjung Ketapang, Muar dan Pantai Bandar Mersing, Mersing yang dijayakan  oleh 60 pelajar kursus kokurikulum berkredit di bawah Jabatan Kepimpinan, Khidmat Komuniti, Pengucapan Awam dan Kemahiran, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 5 Januari 2025 lalu.

Menurut penyelaras program, Dr. Muhamad Helmy Sabtu, menyedari pentingnya memelihara alam sekitar, pihaknya melalui inisiatif Sustainable Engagement Project (SEP) telah merancang melaksanakan aktiviti pembersihan kawasan pantai serta pendidikan kesedaran alam sekitar berskala besar yang berlangsung secara serentak di dua pantai tersebut.

Beliau berkata, kebersihan kawasan pantai bukan sahaja perlu dikekalkan bagi tujuan pengindahan kawasan rekreasi awam, tetapi yang lebih penting adalah untuk memelihara ekosistem hidupan laut yang kian terancam dek kerana kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab manusia.

“Hal ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-14 yang menekankan tentang kelestarian hidupan bawah air.

“Kepentingan memelihara alam sekitar perlu diterapkan bukan sahaja kepada golongan dewasa, tetapi juga pada anak-anak kecil kerana mereka inilah yang akan mewarisi alam ini satu hari nanti,” katanya.

Program dengan kerjasama Majlis Perbandaran Muar serta Majlis Daerah Mersing yang diberi nama “We Care We Share” serta “Blue Horizons: Protecting Our Oceans” itu turut disertai para pensyarah, pelajar pascasiswazah, pengunjung pantai dan komuniti setempat.

Ia juga diadakan bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya memelihara alam sekitar dan menjaga kebersihan di kawasan pantai.

Program yang berlangsung dari pagi hingga ke petang itu diisi dengan sesi taklimat, diikuti dengan aktiviti pembersihan kawasan pantai serta aktiviti penghasilan poster 3D alam sekitar dengan menggunakan bahan kitar semula yang terdapat di kawasan pantai.

Para pelajar juga turut bertemu dengan pengunjung di kawasan pantai bagi menyampaikan mesej kesedaran mengenai alam sekitar.

Aktiviti itu juga sebagai usaha melatih para peserta meningkatkan lagi kemahiran komunikasi dan penyampaian mesej berkesan.

Sementara itu, Pembantu Kesihatan Awam Majlis Daerah Mersing, Amirullah Atan berkata penganjuran program seumpama itu amatlah digalakkan kerana pihak berkuasa tempatan sangat memerlukan bantuan dan tenaga tambahan khususnya dalam kalangan orang awam.

“Phak kami amat berbesar hati apabila ada pelajar universiti yang tampil membantu membersihkan semula kawasan pantai terutama selepas musim tengkujuh, yang mana jumlah sampah sarap melebihi daripada kebiasaan,” katanya.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 9 Januari 2025: Pelajar UTHM kutip 470 kg sampah di pantai Muar, Mersing

Pelajar UTHM kutip 470 kg sampah di pantai Muar, Mersing