Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah lama berdiri sebagai institusi pendidikan tinggi yang berorientasikan teknologi dan inovasi dengan penekanan mengikut bidang tujah utama UTHM iaitu “Sustainable Technolgy & Transportation” dengan fokus kepada penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat dan industri. Dalam usaha untuk mencapai visi Global Technopreneur University (GTU) 2030, Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abd Rahim telah memperkenalkan pendekatan SPEED sebagai strategi utama dalam memperkasakan penyelidikan di universiti ini. SPEED, yang melibatkan elemen Strategic, Proactive, Efficient, Empowering dan Dynamic, bertujuan untuk memupuk keberanian dan daya kreativiti khususnya kepada penyelidik muda dalam menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi serta mengkomersialkan hasil inovasi.

Pendekatan yang diperkenalkan ini juga sejajar dengan Pelan Strategik MOSTI 2024-2030, yang menekankan keperluan untuk mempercepatkan inovasi teknologi, meningkatkan kerjasama antara sektor dan memastikan penyelidikan menyumbang kepada agenda nasional dan global. Penyelidik muda adalah aset penting bagi universiti, memainkan peranan sebagai pemacu utama kepada transformasi teknologi dan ekonomi. Melalui pendekatan SPEED, UTHM menyediakan sokongan menyeluruh yang meliputi peluang, bimbingan dan infrastruktur untuk membolehkan penyelidik muda menghasilkan teknologi disruptif, membina kolaborasi global dan menyumbang kepada pembangunan mampan. Artikel ini akan membincangkan strategi yang digunakan, cabaran yang dihadapi serta rumusan untuk memastikan kejayaan penyelidik muda dalam mencapai aspirasi GTU 2030.

 

Strategi: Pendekatan SPEED untuk penyelidik muda

Pendekatan SPEED yang diilhamkan oleh Naib Canselor UTHM adalah kerangka holistik yang direka khas untuk memperkasa pengajaran dan penyelidikan khususnya  dalam inovasi dan pengkomersialan selaras dengan matlamat MOSTI 2024-2030:

Strategic – Berani menongkah arus tradisional

UTHM menggalakkan penyelidik muda untuk berani menongkah arus tradisional dengan menghasilkan penyelidikan yang disruptif dan berimpak tinggi. Sebagai contoh, penyelidik muda diberi sokongan untuk mengembangkan teknologi hijau seperti tenaga solar dan biogas, serta automasi pintar yang menggunakan kecerdasan buatan (AI). Selain itu, UTHM menjalin kerjasama strategik dengan universiti dan syarikat global untuk memastikan hasil penyelidikan penyelidik muda sejajar dengan keperluan pasaran antarabangsa. Strategi ini membuka ruang kepada penyelidik muda untuk meneroka bidang baharu yang berpotensi mencipta perubahan signifikan dalam industri.

Proactive – Kelajuan sebagai paksi pelaksanaan

UTHM menekankan kepentingan kelajuan dalam pelaksanaan inovasi dan pengkomersialan. Program seperti ‘UTHM Startup Accelerator’ membantu penyelidik muda mempercepatkan pembangunan prototaip sehingga ke peringkat pasaran. Proses pendaftaran harta intelek (IP) juga dipermudahkan untuk memastikan perlindungan inovasi dapat dilakukan dengan cepat. Sokongan melalui Geran Pembangunan produk (GPP) memberi peluang kepada penyelidik muda untuk memulakan projek mereka dengan segera, tanpa kekangan birokrasi. Strategi ini mencerminkan matlamat MOSTI untuk mempercepatkan proses translasi teknologi ke pasaran yang lebih tinggi.

Efficient – Integrasi data analitik untuk era baharu keunggulan

Dalam era digital, kecekapan adalah kunci kepada kejayaan penyelidikan. UTHM menyediakan platform digital seperti The Academy of Intellect and Data Analytics (AI.DA) yang membolehkan penyelidik muda menganalisis keperluan pasaran menggunakan data besar (Big Data). Sistem ini membantu mereka merancang strategi penyelidikan berdasarkan maklumat yang tepat dan terkini. Tambahan pula, sistem penjejakan inovasi menggunakan analitik untuk memantau kemajuan projek, memastikan setiap usaha membawa kepada hasil yang signifikan. Langkah ini menyokong pelan MOSTI yang menekankan pengintegrasian teknologi digital dalam penyelidikan dan pembangunan.

Empowering – Kreativiti dan Kolaborasi Antarabangsa

UTHM memperkasakan penyelidik muda melalui peluang kolaborasi antarabangsa dan ruang kreatif untuk mereka mencuba idea baharu. Program pertukaran penyelidikan antarabangsa memberi mereka peluang bekerja dengan universiti terkemuka dunia, manakala ruang inovasi seperti UTHM Makerspace menyediakan platform untuk membangunkan prototaip dan teknologi baharu. Di samping itu, hubungan strategik dengan syarikat multinasional membolehkan penyelidik muda memahami keperluan pasaran global dan menyesuaikan inovasi mereka untuk penggunaan komersial.

UTHM juga merupakan sebahagian daripada rangkaian UNESCO-UNEVOC, yang memberi fokus kepada Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu pembangunan global. Melalui penyertaan ini, penyelidik UTHM dapat mengakses rangkaian antarabangsa untuk bertukar pengetahuan, memanfaatkan sumber global, dan mengembangkan inovasi yang menyokong agenda TVET dan pembangunan mampan. Inisiatif ini sejajar dengan objektif MOSTI untuk menggalakkan kerjasama global bagi meningkatkan daya saing negara.

Dynamic – Membuka pintu masa depan dan pemerkasaan bakat generasi muda

UTHM memastikan penyelidik muda dilengkapi dengan kemahiran untuk mencorak masa depan sebagai technopreneur global. Program seperti ‘Technopreneurship Bootcamp’ melengkapkan mereka dengan kemahiran dalam pemasaran, pengurusan teknologi dan pembangunan perniagaan. Selain itu, projek komuniti seperti UTHM-Sinar Pusara menunjukkan bagaimana penyelidikan mampu memberi impak sosial yang besar, membuktikan bahawa inovasi tidak hanya terhad kepada keuntungan ekonomi tetapi juga kesejahteraan masyarakat.

UTHM juga terlibat dalam projek komuniti seperti solar hidroponik, yang menggunakan teknologi tenaga boleh diperbaharui untuk sistem pertanian mampan, mempromosikan inovasi hijau di peringkat komuniti. Dalam aspek lain, kejayaan pensyarah Siti Juita Mastura Mohd Saleh, dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) sebagai wanita pertama Malaysia yang memiliki Remote Pilot License (RePL) diiktiraf oleh Lembaga Keselamatan Penerbangan Awam (CASA), Australia, memperlihatkan kebolehan tenaga pengajar UTHM dalam teknologi disruptif seperti dron profesional. Pencapaian ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada penyelidik muda tetapi juga membuka peluang baharu dalam aplikasi teknologi dron.

 

Cabaran utama penyelik muda

Walaupun pendekatan SPEED menyediakan asas kukuh untuk penyelidik muda, terdapat beberapa cabaran utama yang perlu diatasi, terutamanya dalam konteks global yang semakin kompleks dan dinamik. Salah satu cabaran utama ialah kesedaran dan kefahaman pasaran. Penyelidik muda sering kali kurang pendedahan kepada keperluan dan cabaran industri di peringkat global, yang menyebabkan jurang antara hasil penyelidikan akademik dan kehendak pasaran sebenar. Tanpa panduan yang tepat, hasil penyelidikan mereka mungkin tidak selaras dengan keperluan pelanggan atau industri, sekali gus menjejaskan potensi pengkomersialan.

Selain itu, sumber kewangan terus menjadi halangan utama. Walaupun UTHM menyediakan geran penyelidikan dan sokongan awal, projek yang memerlukan dana berskala besar memerlukan penglibatan pihak industri dan kerajaan. Di peringkat global, persaingan untuk mendapatkan pembiayaan penyelidikan semakin sengit dan penyelidik muda perlu membuktikan keupayaan mereka menghasilkan inovasi yang kompetitif untuk menarik pelabur antarabangsa.

Cabaran lain ialah penguasaan teknologi terkini seperti blockchain, Internet of Things (IoT), dan kecerdasan buatan. Teknologi ini memerlukan pelaburan masa dan sumber untuk latihan serta pembangunan kemahiran. Penyelidik muda juga perlu memahami bagaimana teknologi ini boleh diintegrasikan ke dalam penyelidikan mereka untuk mencipta penyelesaian yang relevan dan bernilai tinggi.

Kolaborasi antarabangsa juga merupakan cabaran yang signifikan. Membangun hubungan kukuh dengan institusi luar negara memerlukan usaha konsisten serta sumber yang mencukupi. Proses ini sering kali mengambil masa sebelum hasil kolaborasi dapat dilihat. Selain itu, perbezaan budaya dan sistem penyelidikan juga boleh menjadi halangan yang perlu diatasi untuk mencapai sinergi yang berkesan.

Akhir sekali, cabaran perubahan sikap turut memberi kesan kepada kejayaan penyelidik muda. Terdapat kecenderungan dalam kalangan mereka untuk berasa ragu-ragu atau enggan mengambil risiko dalam meneroka bidang baharu. Sikap ini mungkin disebabkan oleh kekurangan keyakinan atau ketiadaan sokongan awal. Dalam konteks inovasi dan pengkomersialan, keberanian untuk mencuba dan menghadapi kegagalan merupakan kunci utama kepada kejayaan jangka panjang. Ini seiring dengan tema SPEED, iaitu ‘Meneroka keberanian di luar kotak,’ yang amat relevan dengan status penyelidik muda khususnya di UTHM.

 

Pendekatan SPEED, yang diilhamkan oleh Naib Canselor UTHM, adalah strategi holistik yang memberi fokus kepada memperkasakan penyelidik muda dalam inovasi dan pengkomersialan. Dengan menekankan keberanian untuk berfikir di luar kotak, strategi ini menyediakan peluang dan sokongan menyeluruh bagi membantu penyelidik muda mencipta teknologi disruptif, membangunkan penyelesaian praktikal dan menjadi technopreneur global yang kompetitif.

Walaupun terdapat cabaran seperti kekangan kewangan dan keperluan untuk adaptasi teknologi, langkah proaktif seperti kolaborasi antarabangsa, perlindungan IP, dan sokongan kewangan pantas memastikan penyelidik muda UTHM berada di landasan yang tepat. Melalui pendekatan SPEED, yang juga mendukung Pelan Strategik MOSTI 2024-2030, UTHM bukan sahaja memperkukuh kedudukannya sebagai institusi terkemuka, tetapi juga menyumbang kepada aspirasi Global Technopreneur University 2030 dengan impak yang signifikan kepada ekonomi, industri dan masyarakat global. Penyelidik muda adalah pemacu utama kepada kejayaan ini, membawa harapan untuk masa depan yang lebih cerah dan inovatif.

 

Prof. Eur Ing. Ir. Ts. Dr. Shahiron Shahidan

Pusat Inovasi dan Pengkomersialan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)