Oleh PM Dr. Shamsul Aizam, Noreina Kepal@Nasir, Dr. Nor Adrian Nor Salim
BATU PAHAT – Bagi meneruskan usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), bersama Pusat Perumahan Pelajar (PRP) dan Kolej Kediaman Luar Kampus Parit Raja (KKLK) telah melaksanakan Program Ziarah Santun PTA 5.0 melibatkan pelajar tanpa asrama pada 7 Januari 2025 lalu.
Program ziarah yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Abdul Rashid Abdul Razzaq itu turut disertai Pengarah Pusat Perumahan UTHM, Profesor Madya Ts. Dr. Abdul Halim Irwan Ibrahim bersama Pengetua, Timbalan-timbalan Pengetua, Felo, Pembantu Felo dan Majlis Kepimpinan Pelajar, Kolej Kediaman Luar Kampus (KKLK), UTHM.
Mereka telah menziarahi enam rumah pelajar tanpa asrama kategori B40 sekitar Parit Raja, Batu Pahat dan menyampaikan sedikit sumbangan daripada Pusat wakaf dan Endowmen UTHM dan PRP dengan kerjasama angota kerja KKLK.
Menurut Prof. Abdul Rasid, program seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan para pelajar yang tinggal di luar kampus.
”Program ini juga memberi peluang kepada pihak HEPA untuk berjumpa dengan lebih dekat para pelajar dan mendengar apa jua isu dan permasalahan yang dihadapi mereka sepanjang tinggal di luar kampus.
”Pihak kami sedia mendengar dan akan mempertimbangkan sebarang cadangan yang dikemukakan pelajar, disusuli dengan penambahbaikan untuk kesejahteraan bersama,” katanya.
Beliau turut berharap aktiviti Ziarah Santun PTA itu dapat diteruskan secara berkala dan mampu membawa perubahan positif kepada pelajar tanpa asrama dan komuniti setempat sekali gus meningkatkan lagi kebersamaan antara UTHM dan Komuniti.




