PAGOH – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh menerima kunjungan delegasi dari Sekolah Tinggi Ilmu Administrasi (STIA) Bina Nusantara Mandiri (BNM), Pariaman, Indonesia pada 15 dan 16 Januari lalu bagi menjayakan Program Lintas Budaya dan Akademik.
Menurut pengarah program, NurFatin Filzah Azmi, yang juga Ketua Exco Kebolehpasaran Graduan ETeC, lawatan yang melibatkan sembilan pengajar serta 25 pelajar itu bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan silang budaya, selain memberi pendedahan kepada delegasi tentang kemudahan yang tersedia di UTHM.
Kehadiran mereka disambut dengan majlis makan malam yang diiringi dengan persembahan tradisional daripada kedua-dua pihak termasuklah persembahan kebudayaan Malaysia dari Kelab Kebudayaan Sarawak UTHM.
Pada masa yang sama, produk seni halus hasil karya pelajar Diploma Animasi UTHM juga turut dipamerkan sempena menyambut kedatangan mereka.
Hadir sama, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Prof. Madya Teknologis Dr. Nofrizalidris Darlis.
Beliau dalam ucapannya amat berbesar hati menerima kedatangan delegasi daripada STIA BNM kerana inisiatif seumpama ini dapat memperkukuhkan lagi hubungan akademik dan budaya antara dua negara jiran.
Turut diadakan, perjumpaan bersama dua Timbalan Dekan FTK iaitu Prof. Madya Teknologis Dr. Nofrizal Idris Darlis dan Prof. Madya Ts. Dr. Azrin Hani Abdul Rashid serta Ketua-ketua Jabatan fakulti.
Bapak Adrianto, Ketua Kampus STIA BNM dalam ucapannya menyatakan rasa terima kasih mereka di atas layanan mesra yang diberikan dan berharap kerjasama seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
Mereka turut dibawa melawat beberapa makmal utama di UTHM Pagoh seperti Makmal i-CORE Rail, Makmal Automasi, Makmal ST-UTHM IIOT dan Makmal Automotif.
Lawatan tersebut memberikan gambaran jelas tentang teknologi dan kemudahan penyelidikan yang ditawarkan oleh UTHM.
“Program Lintas Budaya dan Akademik ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara UTHM dan STIA BNM, malah memupuk semangat persahabatan serta kerjasama akademik dan budaya yang lebih erat pada masa hadapan,” tambah NurFatin.