Tahun 2024 telah melabuhkan tirainya. Seperti kelaziman kedatangan tahun baharu diraikan dengan pelbagai acara gilang gemilang. Bagaimana perasaan melepaskan tahun 2024? Rasa teruja, sedih atau biasa-biasa sahaja? Seperti tahun-tahun sebelum ini, tahun baharu sering disambut dengan seribu keazaman. Masuk tahun baharu adalah peluang yang baik untuk memulakan sesuatu dengan semangat dan matlamat baharu. Raikan kedatangan tahun baharu dengan rasa tenang dan bersedia untuk menggapai impian serta kejayaan yang pelbagai. Mulakan tahun baharu dengan 3S iaitu selesaikan, semak semula dan sedia supaya tahun baharu ini akan menjadikan anda insan yang lebih tabah dan berjaya.
Selesaikan
Di penghujung tahun 2024 ambil peluang untuk menyelesaikan perkara yang membebankan atau tidak menyenangkan hidup. Ia akan membantu melepaskan hal-hal yang tidak lagi relevan atau bermanfaat, meningkatkan motivasi, membuka ruang, peluang dan pengalaman baharu sambil menyusun tujuan hidup untuk masa hadapan. Ambil sedikit waktu untuk menyelesaikan kehidupan, kerja dan kerjaya atau urusan peribadi sebelum menjelang tahun baharu. Mulakan dengan menyemak kandungan di e-mel, media sosial dan telefon bimbit serta fail-fail di komputer dan komputer riba. Kenal pasti kandungan dan hantaran yang tidak perlukan, menyemak dan membuang fail, status, gambar atau segala perkongsian yang tidak lagi relevan. Jangan lupa membuat susulan kepada perkara penting yang perlu dibereskan supaya tahun baharu akan dilalui dengan senang hati. Adalah lebih baik untuk mengecilkan lingkungan sosial secara maya dan membuang koleksi gambar yang tidak diperlukan agar kehidupan menjadi lebih tenang.
Tahun baharu perlu disambut dengan perasaan yang lebih yang segar. Buatlah aktiviti penyisihan barang yang tidak diperlukan di rumah atau di tempat kerja. Menyediakan ruang fizikal yang selesa di rumah atau pejabat dengan membersihkan ruang rumah atau menyusun atur semula ruang tempat kerja adalah untuk permulaan yang segar, lebih teratur dan kondusif.
Semak Semula
Sebelum tahun baharu menjelang semak semula dan buat penilaian tentang perjalanan hidup yang telah dilalui sebelum ini. Adakah masa yang telah dilalui selama setahun telah diuruskan dengan baik? Sudahkah tercapai apa yang diimpikan?. Berapa banyakkah matlamat yang dapat dicapai daripada senarai di awal tahun lalu? Semuanya berkait dengan pengurusan masa yang mana jika disemak semula adakah masa telah digunakan sebaik-baiknya untuk perkara yang sepatutnya. Kedua tentang kegagalan yang pernah dirasai. Memikirkan tentang kegagalan adalah cara untuk melihat kembali pengalaman, pengajaran dan kesilapan yang telah dilalui agar lebih memahami diri sendiri dan menjadi panduan dalam merancang masa hadapan agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Kadang kala manusia mengelak untuk memikirkan tentang kegagalan kerana ia akan menggangu emosi. Kegagalan sering dikaitkan dengan emosi negatif seperti sedih mahupun kecewa. Santuni emosi yang datang dalam diri tidak kira sama ada ia negatif atau positif.
Dalam tempoh setahun yang telah berlalu tentunya ada peristiwa dalam kehidupan yang berlaku sama ada pahit mahupun manis. Luangkan sedikit masa untuk merenung apa yang telah berjaya dicapai dan perkara yang membanggakan. Selain daripada mensyukuri apa yang berjaya dicapai pernahkah ucapan terima kasih diberikan kepada orang lain? Imbas kembali pencapaian yang diperoleh adakah ianya berkait dengan orang lain, diri sendiri atau situasi. Kadang kala kejayaan bukan hasil daripada titik peluh dan usaha sendiri sahaja tetapi tanpa sengaja ia juga tempias daripada usaha dan doa orang lain. Kongsikan perasaan syukur dan terima kasih bersama orang lain yang pernah menceria dan menggembirakan hidup ini.
Tahun lalu dan tahun akan datang amat berkait dengan diri sendiri dan perhubungan. Renung seketika berapa banyak masa yang betul-betul diperuntukkan untuk diri sendiri. Adakah kesihatan fizikal dan mental terjaga dengan sebaiknya. Tahniah dan teruskan usaha jika berjaya menjaga dan menyayangi diri sendiri. Dalam aspek perhubungan pula, bagaimana peranan yang dijalankan sebagai kawan, anak, adik beradik, pasangan dan rakan sekerja. Pertimbangkan bagaimana hubungan dengan orang lain boleh diperbaiki agar perhubungan dapat dibentuk dengan lebih mesra dan ukhuwah. Hubungan dengan Pencipta juga jangan dilupakan. Muhasabah diri dengan merenung dan menilai kembali perbuatan dan prestasi diri sebagai hamba. Mendekatkan diri dan menjalin hubungan yang baik dengan Pencipta mampu mendatangkan ketenangan, kebahagiaan dan keberkatan dalam hidup.
Sedia
Bersedia untuk menyambut tahun baharu dengan azam yang juga baharu. Fikirkan seketika apa yang ingin dicapai sepanjang tahun 2025 nanti. Jangan bebankan diri dengan impian besar yang sukar dicapai. Senaraikan apa yang ingin dan boleh dicapai dan susun mengikut keutamaan. Matlamat yang tidak ditulis ibarat angan-angan kosong. Membina matlamat untuk setiap aspek kehidupan adalah lebih baik agar kehidupan lebih seimbang dan gembira. Contohnya dalam perhubungan mungkin tahun baharu ini harapan dan keinginan untuk mempunyai lebih banyak masa bercuti dapat dihabiskan bersama keluarga, masa untuk keluar minum bersama kawan-kawan rapat atau berusaha mengeluarkan individu toksik dari kehidupan. Dalam kerjaya pula timbul azam untuk memperbaiki cara bekerja dan sikap bagi tujuan kenaikan pangkat. Dalam aspek pendidikan pula, rancanglah untuk meningkatkan tahap pendidikan atau mengikuti kursus baharu bagi menambah ilmu baharu dan meningkatkan kemahiran. Penjagaan diri juga perlu ditingkatkan dengan penjagaan kesihatan fizikal dan mental, merancang rutin baharu yang lebih menyihatkan dan mendidik pemikiran ke arah pemikiran yang positif.
Selesai menentukan apa yang ingin dicapai sepanjang tahun baharu, tiba masanya untuk memikirkan pelan atau perancangan bagaimana untuk mencapai kesemua matlamat. Sebagai perangsang untuk mencapai impian, tetapkan nilai diri dan bina perkataan positif yang boleh merangsang motivasi ke arah matlamat yang ingin dicapai.
Raikan dengan gembira
Persiapkan diri dari segi fizikal, mental dan emosi untuk menghadapi cabaran baharu. Pastikan diri sentiasa termotivasi dan berkeyakinan tinggi untuk melalui tahun baharu. Sambutlah tahun baharu dengan lebih positif, teratur dan bertenaga dengan melakukan 3S iaitu selesaikan, semak semula dan sedia._Foto: Mstar
Dr. Noraishah bt Daud
Pusat Kaunseling Universiti
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)