Dunia mengetahui bahawa penyelidikan dapat meningkatkan keberkesanan ilmu dalam menyelesaikan masalah. Ia juga merupakan salah satu daripada tugas utama ahli akademik yang dapat disampaikan kepada mahasiswa dalam memastikan kebolehpasaran graduan. Penyelidikan dan inovasi merupakan penggerak utama dalam memberi solusi kepada setiap permasalahan sama ada kepada komuniti dan juga industri. Kajian daripada pensyarah dan pelajar seharusnya tidak hanya diletakkan di makmal malah melalui proses pemindahan pelbagai peringkat sehingga berjaya menembusi pasaran. Tahap Kesediaan Teknologi atau Technology Readiness Level (TRL) kini menjadi semakin sinonim dalam dunia penyelidikan di universiti.

 

Penyelidikan penghasilan solusi 

Setiap produk dan solusi yang dihasilkan melalui penyelidikan mahupun inovasi seharusnya melalui paras kesediaan teknologi. Secara tradisi penyelidikan yang menghasilkan ilmu baharu dikatakan penyelidikan asas atau fundamental. Manakala penyelidikan bersifat penghasilan produk atau solusi yang mampu diaplikasikan kepada masalah tertentu dikatakan penyelidikan gunaan atau Applied Research. Penyelidikan yang dijalankan melalui suntikan dana adalah perkara biasa. Malaysia menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi menyalurkan pelbagai jenis dana untuk pembangunan penyelidikan di universiti. Antara dana yang ditawarkan adalah Dana Penyelidikan Fundamental, Dana Penyelidikan Eksplorasi, Dana Penyelidikan Transdisiplin, Dana Penyelidikan Jangka Panjang, Dana Penyelidikan Prototype, Dana Penyelidikan Malaysia Laboratories for Academia-Business Collaboration (MyLAB) dan Dana Pembangunan Produk (PPRN). Persoalannya pertama, apakah tindakan seterusnya setelah penyelidikan menghasilkan solusi yang mampu diaplikasikan kepada industri dalam memajukan masyarakat? Kedua, apakah model yang terbaik untuk proses pemindahan teknologi ini? Bagaimanakah pemindahan teknologi dapat berlaku bagi memastikan impak dirasai oleh komuniti, industri dan  universiti.

 

Kaedah menang-menang

Artikel ini menerangkan secara ringkas model pemindahan teknologi yang biasa dilaksanakan di universiti. Pemindahan teknologi ini bagi memastikan harta intelek (dalam bentuk patent, pembaharuan utiliti, hak cipta, cap dagangan, reka bentuk industri, petunjuk geografi dan rahsia dagangan) dan penyelidikan yang dihasilkan mampu diterjemahkan sama ada kepada kewangan atau nilai tambah kepada universiti dan masyarakat. Model pemindahan teknologi yang dilaksanakan biasanya menggunakan pendekatan menang-menang  antara universiti dan industri/masyarakat. UTHM merupakan salah satu daripada universiti awam yang sentiasa komited dalam pemindahan teknologi hasil penyelidikan dan inovasi terutama dalam dalam tiga bidang tujahnya iaitu TVET, kelestarian teknologi dan pengangkutan. Bagi memastikan konsep menang-menang dapat dicapai UTHM akan sentiasa memastikan pihak-pihak yang berkaitan mendapat faedah melalui ikatan perundangan atau hubungan kontrak dengan UTHM.  Selain itu, perkara utama adalah solusi digunakan untuk tujuan peningkatan produktiviti, manakala graduan, penyelidik dan universiti mendapat pengiktirafan dan memenuhi kehendak industri selaras dengan pembangunan teknologi masa kini. Berikut merupakan model pemindahan teknologi yang dapat diguna pakai bersama industri dan masyarakat.

 

Model pemindahan teknologi

Pemindahan teknologi berdasarkan harta intelek boleh dilakukan melalui beberapa kaedah ‘Outright Sale’ yang mana harta intelek yang dihasilkan oleh penyelidik dibeli sepenuhnya oleh pihak luar. Kaedah lain seperti Joint Ventures membenarkan penyelidik UTHM memeterai satu perjanjian berkaitan metod/proses/carta alir pemindahan teknologi dipersetujui antara kedua-dua belah pihak. Perlesenan harta intelek pula melibatkan transaksi harta intelek melalui perjanjian perlesenan kepada anak syarikat UTHM iaitu UCSB (UTHM Commercial Sdn. Bhd.) ataupun pihak luar yang mana dalam satu tempoh masa pihak tersebut dibenarkan menjalankan aktiviti pemindahan teknologi melalui pengkomersialan.

Bagi melancarkan keperluan pemindahan teknologi bersama industri dan masyarakat setempat UTHM mengkategorikan pemindahan teknologi kepada dua kategori utama iaitu Pengkomersialan harta intelek dan Pengkomesialan Runcit. Sekiranya pemindahan teknologi tidak melibatkan transaksi harta intelek melalui jualan terus atau perlesenan maka kategori Pengkomersialan Runcit akan diguna pakai terutama bagi penyelesaian teknologi yang belum mencapai tempoh kematangan atau dalam tempoh ujilari kajian lapangan dalam peningkatan TRL.

Komited dengan keperluan semasa dan hala tuju UTHM ke arah “Global Technopreneur 2030” (GTU2030), Syarikat Terbitan Universiti (STU) merupakan salah satu medium pemindahan teknologi di UTHM. Garis panduan STU UTHM dibangunkan selari dengan dasar-dasar utama di peringkat kebangsaan dan universiti seperti Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) (Akta 605), Akta Universiti dan Kolej universiti 1971 juga akta-akta dan dasar yang lain. Di UTHM, STU yang telah diluluskan beroperasi oleh Lembaga Pengarah Universiti dibenarkan untuk menjalankan aktiviti pemindahan teknologi melalui pengkomersialan Harta Intelek yang dicadangkan untuk dilesenkan kepada UTHM. Dalam hal ini tiada tunggangan gratis dibenarkan kepada penyelidik-penyelidik lain yang bukan Ahli Lembaga Pengarah STU. Mana-mana Pusat Tanggungjawab contohnya fakulti yang berhasrat untuk menyemarakkan proses pemindahan teknologi dalam kalangan warga fakulti, kaedah yang dibenarkan adalah penubuhan STU melalui Entiti Tujuan Khas (STU-SPV). STU-SPV ditubuhkan bagi memenuhi keperluan spesifik selaras dengan kepakaran yang dimiliki oleh warga PTJ tersebut.

 

Kesimpulannya, proses pemindahan teknologi terpandu mampu melestarikan hasil penyelidikan dalam memastikan solusi memberi impak kepada industri dan komuniti. Model pemindahan teknologi dengan garis panduan yang jelas pastinya membantu proses pemasaran dan melindungi hak penyelidik sebagai ahli akademik. Dunia akademik ibarat panel solar yang sentiasa menerima cahaya untuk membekalkan tenaga.

 

 

Jabatan Kejuruteraan Awam
Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Riduan Yunus

Jabatan Kejuruteraan Awam

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina