Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT – Bagi menyokong agenda negara dalam melahirkan golongan tahfiz TVET, MyRIVET Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memulakan tahun baharu dengan menganjurkan kursus “AI Insight: Empowering Minds for Future – Ready Skills” bersama Pertubuhan Penggerak Hufaz Berkemahiran Selangor (Penggerak Hufaz) pada 15 Januari 2025 lalu.
Kursus yang melibatkan para pelajar tahfiz dari Maahad Pendidikan Tahfiz An-Nur dan Madrasah Al Muhsinin Sanawiyah Batu Pahat, Johor itu bertujuan melengkapkan pelajar sekolah tahfiz dengan kemahiran digital dan Artificial intelligence (AI) sebagai keperluan pekerjaan pada masa akan datang.
Kursus yang diselaraskan oleh Ketua Jabatan Latihan dan Pembangunan Kerjaya, MyRIVET, Prof. Madya Ts. Dr. Mimi Mohaffyza Mohamad itu turut dijayakan oleh dua penceramah dari Pusat Pembelajaran Maya iaitu Dr. Mohd Zulfadli Rozali dan Hemmy Abd Jalal dari Pusat Pembelajaran Maya, UTHM.
Menurut Dr. Mimi, dalam kursus tersebut para peserta didedahkan dengan modul berkaitan asas Artificial Intelligence (AI) dan penggunaan AI dalam pencarian maklumat.
“Mereka turut diberi sijil penyertaan yang disampaikan oleh Pengarah MyRIVET, Prof Madya Dr. Badaruddin Ibrahim dan Setiausaha Penggerak Hufaz, Ts. Dr. Azreen Junaida Abd.Aziz,” katanya.
Selesai program latihan tersebut, MyRIVET dan Penggerak Hufaz turut merancang untuk melaksanakan program-program pembangunan modal insan hufaz yang berkualiti pada masa akan datang.




