Malaysia kini berada di landasan tepat untuk mencapai status negara maju menjelang 2027. Ekonomi negara berkembang sebanyak 4.9 peratus pada tahun 2024 dan dijangka 4.7 peratus pada tahun 2025, selari dengan sasaran pertumbuhan tahunan antara empat hingga lima peratus yang diperlukan untuk mencapai visi negara maju. Negara menyasarkan peningkatan pendapatan per kapita kepada RM61,000 (AS$14,250) menjelang akhir 2025, paras yang melebihi ambang minimum Bank Dunia bagi negara berpendapatan tinggi, iaitu AS$13,845 (RM59,257). Peningkatan ini dijangka disokong oleh produktiviti buruh yang lebih baik, hasil daripada pelaburan dalam teknologi, pendidikan dan latihan kemahiran.

Dalam konteks ini, kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat menjadi keutamaan. Pelaburan dalam pembangunan infrastruktur, inovasi teknologi dan sokongan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran ini. Dengan usaha kolektif, Malaysia berada di landasan kukuh untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dan seterusnya mencapai status negara maju pada 2027.

 

Negara maju

Status negara maju sering dikaitkan dengan pencapaian ekonomi yang kukuh, kualiti hidup yang tinggi, dan tadbir urus yang cekap. Ia juga memerlukan sistem pendidikan dan kesihatan yang berkualiti tinggi, kemakmuran ekonomi yang inklusif, serta keadilan sosial yang seimbang. Negara maju perlu dilihat dari sudut pembangunan yang seimbang antara kemajuan ekonomi, sosial, dan nilai-nilai kemanusiaan.

Dalam kerangka ini, negara maju tidak hanya dinilai dari aspek teknologi dan ekonomi, tetapi juga dari keadilan sosial, kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan rakyat. Prinsip Malaysia MADANI, seperti kepercayaan, ihsan dan kesejahteraan, menjadi asas dalam membentuk masyarakat yang inklusif dan berdaya saing. Kerajaan telah menekankan pentingnya pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan, serta infrastruktur yang mesra rakyat dan alam sekitar. Nilai moral dan etika perlu diangkat sebagai tunjang pembangunan sebuah negara maju.

Malaysia, walaupun berada di ambang status negara berpendapatan tinggi, masih menghadapi pelbagai cabaran untuk mencapai tahap ini sepenuhnya. Antara aspek penting yang perlu diberi perhatian adalah meningkatkan daya saing ekonomi, memperkukuh sistem pendidikan dan kesihatan, serta memastikan pembangunan mampan yang mengambil kira aspek alam sekitar.

Ekonomi

Ekonomi merupakan nadi kepada pencapaian status negara maju. Malaysia telah mencatatkan kemajuan yang signifikan dalam sektor ekonomi sejak beberapa dekad lalu. Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Malaysia kini berada hampir dengan ambang status negara berpendapatan tinggi. Pendapatan per kapita negara telah meningkat secara konsisten, dengan angka terkini menunjukkan pertumbuhan daripada RM46,253 pada tahun 2021 kepada RM52,968 pada tahun 2022. Sasaran kerajaan untuk mencapai pendapatan per kapita RM61,000 menjelang akhir tahun 2025 adalah selaras dengan unjuran Bank Dunia dan menunjukkan potensi besar untuk Malaysia mencapai status ini.

Namun, mencapai sasaran ekonomi ini memerlukan usaha berterusan dalam meningkatkan produktiviti buruh dan memperkukuh daya saing sektor strategik. Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) telah menetapkan empat fokus utama, iaitu melonjakkan pertumbuhan ekonomi, mempercepat reformasi struktur ekonomi, memacu daya saing sektor strategik, dan mempertingkatkan potensi ekonomi wilayah. Penekanan terhadap pembangunan sektor teknologi tinggi dan industri nilai tambah tinggi (HGHV) adalah langkah strategik yang dapat membawa Malaysia ke tahap ekonomi yang lebih maju.

Pendidikan

Sistem pendidikan berkualiti tinggi adalah asas kepada kemajuan sesebuah negara. Negara maju dikenali dengan sistem pendidikan yang efektif, inklusif dan mampu melahirkan modal insan berkualiti. Malaysia perlu memastikan sistem pendidikan yang mampu memenuhi keperluan industri semasa serta masa depan. Ini termasuk memperkukuh pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi. Selain itu, pembelajaran sepanjang hayat juga perlu diutamakan untuk memastikan rakyat sentiasa relevan dengan perubahan ekonomi global.

Kesihatan

Sistem kesihatan yang berkualiti menjadi elemen penting dalam status negara maju. Negara maju memiliki sistem kesihatan yang inklusif dan mampu menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada seluruh rakyat. Malaysia telah mencatatkan banyak kemajuan dalam sektor kesihatan, namun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. Akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi perlu diperluaskan, terutamanya di kawasan luar bandar. Kerajaan juga perlu meningkatkan pelaburan dalam teknologi kesihatan serta memperkukuh program pencegahan penyakit untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

Tadbir urus dan pembangunan mampan

Tadbir urus yang cekap dan stabil adalah kunci kepada kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Tadbir urus yang baik bukan sahaja melibatkan pengurusan kewangan negara yang bijak tetapi juga memastikan keadilan sosial terjamin. Institusi yang kuat dan amalan undang-undang yang adil adalah asas kepada kestabilan politik dan sosial. Kerajaan perlu memastikan setiap dasar yang dilaksanakan berorientasikan rakyat dan mampu memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Dalam usaha mencapai status negara maju, pembangunan mampan juga perlu menjadi agenda utama. Malaysia perlu memastikan bahawa pembangunan ekonomi tidak menjejaskan alam sekitar. Pemeliharaan sumber semula jadi dan pengurangan jejak karbon perlu diberi perhatian serius. Penekanan terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam pembangunan ekonomi negara adalah langkah yang tepat untuk memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Peranan masyarakat dan sektor swasta

Cabaran utama adalah memastikan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab bersama dalam mencapai impian negara maju. Setiap individu mempunyai peranan penting dalam merealisasikan visi ini. Sebagai rakyat, kita perlu memainkan peranan aktif dalam menyokong dasar-dasar kerajaan yang bertujuan meningkatkan kemakmuran negara. Ini termasuk mengamalkan sikap proaktif dalam pembangunan diri, memanfaatkan peluang pendidikan dan latihan, serta menyokong usaha memelihara alam sekitar.

Sektor swasta juga mempunyai peranan besar dalam menyumbang kepada pencapaian negara maju. Sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, sektor ini perlu terus berinovasi dan melabur dalam teknologi tinggi serta pembangunan modal insan. Kerjasama antara sektor awam dan swasta adalah penting untuk memastikan dasar-dasar pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih efektif. Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga perlu dipertingkatkan untuk memastikan Malaysia mampu bersaing di peringkat global.

Cabaran 2025

Masyarakat perlu menyedari bahawa perubahan memerlukan masa dan kesabaran. Walaupun banyak usaha telah dilakukan, masih terdapat cabaran besar yang perlu diatasi. Antaranya adalah memastikan kestabilan ekonomi dalam menghadapi ketidaktentuan global, seperti inflasi, konflik geopolitik dan perubahan iklim. Kerajaan perlu terus mengambil langkah proaktif dalam menangani cabaran ini, termasuk memperkenalkan dasar monetari dan fiskal yang sesuai serta memperkukuh jaringan keselamatan sosial bagi melindungi golongan rentan.

Melangkah ke tahun 2025, aspirasi untuk menjadi negara maju perlu terus menjadi motivasi bersama. Perancangan Belanjawan negara bakal menjadi penentu kepada hala tuju negara untuk mencapai negara maju. Perincian belanjawan memberikan gambaran jelas tentang strategi dan inisiatif yang akan diambil untuk mencapai matlamat negara. Ia mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan negara untuk terus maju ke hadapan.

Secara keseluruhannya, kejayaan Malaysia mencapai status negara maju bergantung kepada usaha kolektif semua pihak. Kerajaan, sektor swasta dan masyarakat perlu berganding bahu dalam merealisasikan visi ini. Dengan komitmen yang kukuh dan usaha berterusan, Malaysia berpotensi menjadi sebuah negara yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi tetapi juga memberikan kualiti hidup yang tinggi kepada seluruh rakyatnya. Tahun 2025 adalah tahun yang dinanti-nantikan, bukan sahaja sebagai penanda aras kepada pencapaian negara tetapi juga sebagai simbol kebanggaan rakyat Malaysia dalam membina masa depan yang lebih cerah dan sejahtera.

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)