BATU PAHAT – Dalam usaha memacu pembangunan modal insan yang dinamik, Johor Business School (JBS) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor melalui Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (Akademi JCS) telah menjalinkan kerjasama strategik bagi memberi tumpuan kepada transformasi latihan dan pembangunan kepimpinan.

Menurut Dekan JBS, Profesor Dr. Abd Rahman Ahmad, JBS dan Akademi JCS telah melancarkan dua program inovatif bagi meningkatkan tadbir urus korporat dan pembangunan kepimpinan di Johor.

Program pertama, Corporate Governance 101 (CG 101) merupakan kursus profesional yang dibangunkan khusus untuk pegawai JCS dan eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.

Program itu menggunakan pendekatan pembelajaran holistik yang mengintegrasikan teori dan praktikal, memberikan peserta pemahaman mendalam tentang prinsip asas tadbir urus korporat serta kaitannya dalam konteks semasa.

“Modul-modul yang dirancang secara strategik merangkumi elemen-elemen penting seperti etika kepimpinan, pengurusan risiko, kawalan dalaman dan kebertanggungjawaban korporat.

“Kandungan program juga direka dengan teliti bagi memastikan setiap peserta mempunyai kompetensi untuk menghadapi cabaran industri korporat dengan yakin dan profesional.

“Manakala bagi memperkemaskan lagi penyampaian modul, sinergi antara akademia dan industri disuntik dalam pelaksanaan program CG 101 ini,” katanya.

Sementara itu, Kursus Peningkatan Profesionalisme Institusi Pemimpin Kampung dan Masyarakat Negeri Johor pula merupakan inisiatif kedua yang direalisasikan melalui kerjasama erat antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Akademi JCS dan JBS.

Program itu bukan sekadar berbentuk latihan konvensional, tetapi sebuah platform holistik yang dirancang bagi memperkasa kepimpinan komuniti dengan pendedahan kepada kemahiran komunikasi berkesan, pengurusan konflik, perancangan strategik komuniti dan pemahaman mendalam terhadap dasar-dasar kerajaan.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kukuh JBS dalam membangunkan modal insan dan menggilap potensi kepimpinan di peringkat korporat serta komuniti, menjadikannya sebagai pemangkin transformasi berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan mampan negeri Johor,” tambah Prof. Rahman.

Inisiatif yang berimpak tinggi itu membuktikan kesungguhan JBS dan Akademi JCS dalam melahirkan pemimpin berdaya saing dan berwawasan, serta bersedia menggalas cabaran untuk membawa Johor ke era kegemilangan baharu.

Untuk rekod, dalam tempoh kurang dua tahun penubuhan JBS, institusi ini telah mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan di Johor.

JBS menawarkan ekosistem pembelajaran yang berinovasi dan relevan dengan tuntutan industri semasa.

Kerjasama strategik JBS dengan sektor industri telah melahirkan graduan berkualiti tinggi, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Pelbagai program dirancang khusus untuk memenuhi keperluan pelbagai kumpulan sasaran, termasuk ahli politik yang perlu memahami dasar secara mendalam dan strategik, usahawan yang dituntut untuk berdaya saing serta berinovasi dalam menghadapi persekitaran perniagaan yang dinamik, penjawat awam yang ditugaskan untuk mengekalkan integriti dan profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab, serta ketua masyarakat yang harus peka terhadap keperluan komuniti bagi membentuk masyarakat yang resilien.

Semua elemen tersebut diharmonikan bagi mewujudkan ekosistem kepimpinan Bangsa Johor yang cemerlang dan berdaya tahan.

Sokongan padu daripada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang juga Canselor UTHM terhadap usaha-usaha tersebut telah memberi inspirasi kepada semua pihak yang terlibat.

Baginda melihat kerjasama strategik ini sebagai langkah penting dalam merealisasikan visi “Maju Johor, Rakyat Sejahtera” demi memastikan kesejahteraan setiap lapisan Bangsa Johor.

Dengan adanya kerjasama strategik bersama pelbagai institusi tempatan dan antarabangsa, JBS akan memperluaskan skop program latihan dan pembangunan, sekali gus memberi manfaat lebih besar kepada komuniti di seluruh Johor.

“Ia sejajar dengan hasrat Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim yang ingin menjadikan universiti sebagai pemangkin kepada pembentukan ekosistem kepimpinan.

“Dengan sokongan padu semua pemegang taruh, JBS akan lebih agresif dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri,” kata Prof. Rahman.

Para peserta Kursus Profesional Corporate Governance 101 (CG 101) yang bergraduasi pada 12 Disember 2024 lalu.

 

Para peserta Kursus Peningkatan Profesionalisme Institusi Pemimpin Kampung dan Masyarakat Negeri Johor.