
Kenyataan daripada Timbalan Menteri Pengangkutan dalam media massa melaporkan bahawa sejak Januari hingga Oktober 2024, sebanyak 532,125 nahas jalan raya telah direkodkan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 5,364 merupakan kemalangan maut dan 68 peratus daripada kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal. Jumlah kemalangan tersebut merupakan satu perkara yang membimbangkan kerana angka nahas yang mengorbankan nyawa di jalan raya pada tahun lalu bukanlah satu angka yang kecil.
Menjelang musim cuti sekolah dan cuti perayaan Tahun Baharu Cina pada hujung Januari ini, jumlah penggunaan kenderaan persendirian di lebuh raya juga dijangka akan meningkat dengan drastik ekoran ramai yang akan pulang ke kampung halaman dan mengambil peluang untuk bercuti bersama keluarga. Oleh itu, satu penguatkuasaan Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan (Road-Ban) akan dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan jalan raya. Larangan tersebut bakal berkuatkuasa selama empat hari, iaitu sebelum perayaan Tahun Baharu Cina (27 dan 28 Januari 2025) serta selepas perayaan (1 dan 2 Februari 2025).
Setiap peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa adalah bertujuan untuk mengurangkan risiko kemalangan di samping menjaga keselamatan nyawa dan harta benda. Sehubungan itu, pengguna jalan raya digesa agar dapat mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak kecelakaan yang tidak diingini. Pematuhan kepada peraturan seperti had laju, lampu isyarat dan penggunaan tali pinggang keledar diharapkan dapat mengurangkan risiko kemalangan.
Salah satu tanggungjawab dan keutamaan kepada semua pemilik kenderaan adalah memastikan kenderaan mereka dalam keadaan yang baik. Sebelum memulakan perjalanan, pemandu seharusnya memeriksa keadaan tayar, brek dan lampu mampu berfungsi secara optimum. Sekiranya terdapat sebarang masalah pada komponen kereta, segeralah lakukan penyelenggaraan bagi mengelakkan sebarang risiko semasa perjalanan.
Semasa memandu, pastikan agar ada jarak selamat antara kenderaan yang dipandu dengan kenderaan di hadapan. Perkara ini perlu dititik beratkan terutamanya apabila memandu di belakang kenderaan berat seperti lori kerana ia memerlukan masa dan jarak yang lebih untuk berhenti berbanding kenderaan ringan. Dengan memastikan jarak yang selamat, pemandu dapat mengurangkan kebarangkalian perlanggaran kerana memberi ruang untuk bertindak sekiranya kenderaan di hadapan perlu membrek secara mengejut.
Di samping itu, pemandu disarankan untuk berhenti dan berehat seketika jika berasa letih atau mengantuk semasa memandu. Pernahkah anda dihon kerana memandu dengan jarak terlalu rapat dengan kenderaan hadapan atau memasuki lorong kenderaan bertentangan tanpa sengaja atau tanpa sedar? Situasi tersebut merupakan antara contoh yang berlaku akibat microsleep semasa memandu. Microsleep merupakan suatu keadaan pemandu terlelap sejenak tanpa sedar antara tempoh 1 hingga 30 saat. Keadaan ini sering terjadi tanpa disedari ketika pemandu berusaha sedaya upaya untuk kekal berjaga dalam keadaan mengantuk. Hal ini amat membahayakan kerana tempoh beberapa saat tersebut mampu mengundang padah.
Selain itu, pemandu juga harus mengelakkan memandu jika mereka berada dalam keadaan pengaruh alkohol atau mabuk. Individu yang memandu dalam keadaan mabuk sangat berisiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan kerana pengambilan alkohol mampu mengurangkan koordinasi dan keupayaan seseorang untuk memberi perhatian kepada persekitaran dengan baik.
Tuntasnya, keselamatan di jalan raya memerlukan kerjasama yang erat dan kesedaran semua pihak. Elakkan sikap mementingkan diri sendiri dan sentiasa memberi perhatian kepada keselamatan pengguna jalan raya yang lain semasa memandu. Sentiasalah berwaspada di jalan raya demi perjalanan yang selamat ke destinasi untuk semua.
Farhana Abd Hamid
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Berita Harian (muka surat: 13), 28 Januari 2025: Patuhi peraturan kurangkan risiko nahas
2. Sinar Harian (muka surat: 20), 28 Februari 2025: Hindari bahaya, waspada keselamatan di jalan raya