Oleh Ts. Ahmad Anwar Safwan Sidek, Ts. Inv. Abdullah Al Rashid Ab. Hamid

PAGOH – Bagi memberi peluang kepada pelajar mempamerkan hasil kreativiti mereka, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program “Furniture Exhibition Empowering Eco-Conscious Design and Responsible Consumption” (FEEDER) 2025 pada 13 dan 14 Januari 2025 lalu bertempat di Kolej Kediaman Kampus Pagoh.

Pameran itu memberi peluang kepada pelajar mempamerkan 21 hasil kerja Projek Sarjana Muda (PSM) pelajar tahun akhir daripada program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (Reka Bentuk dan Pembuatan Perabot), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP).

Program itu bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mempersembahkan hasil kreativiti mereka, tetapi juga menjadi platform untuk mempromosikan bidang reka bentuk dan pembuatan perabot kepada industri berkaitan.

Secara tidak langsung, ia turut membantu menarik minat pelajar lepasan diploma, STPM dan Matrikulasi untuk memilih UTHM sebagai destinasi pengajian dalam bidang teknologi dan reka bentuk perabot.

Pameran FEEDER 2025 mencerminkan komitmen UTHM dalam menyokong pembangunan reka bentuk perabot mesra alam serta menyemarakkan kesedaran tentang penggunaan bertanggungjawab, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Majlis perasmian FEEDER 2025 yang diadakan pada 14 Januari 2025 telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Afandi Ahmad, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh.

Pameran itu turut mendapat sokongan daripada wakil beberapa syarikat industri perabot, 50 pelajar dan 14 pensyarah dari Kolej Vokasional Batu Pahat dan Institut Kemahiran MARA Sungai Petani, pelajar UTHM serta komuniti sekitar.

Dr. Afandi dalam ucapannya berkata FEEDER 2025 menjadi satu platform yang sangat menarik dan mampu memberi impak yang tinggi.

“Saya berharap program ini dapat dikekalkan dan dianjurkan setiap tahun dengan penglibatan yang lebih menyeluruh daripada pelajar program perabot serta komuniti setempat.

“Penganjuran program seumpama ini diharapkan akan terus menjadi pemangkin kepada kemajuan bidang reka bentuk perabot tempatan dan antarabangsa.

“Dengan sokongan pelbagai pihak, FEEDER 2025 bukan sahaja berjaya memperkasakan pelajar UTHM, tetapi juga membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara universiti, industri dan komuniti,” kata Dr. Afandi.

Hadir sama ke pameran itu, Prof. Madya Ts. Dr. Azrin Hani Abdul Rashid, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan & Penerbitan) Fakulti Teknologi Kejuruteraan; Ts. Farydatul Nazly Mohd Zin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan dan Komersial), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Profesor Madya Dr. Abdul Aziz Zalay @ Zali, Jabatan Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang bertindak sebagai penilai serta penasihat Program Perabot FPTP.