Oleh Melissa Serafina anak Bujang, Dr. Mohd Hairul Khamidun, PM. Ts. Dr. Ahmad Mubarak Tajul Arifin
BATU PAHAT – Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Citra Kokurikulum 2024 melibatkan penyertaan pelajar yang mengambil kursus kokurikulum berkredit pada semester ini pada Disember 2024 lalu dan berakhir pada 11 Januari 2025.
Dengan tema “Insaniah Cemerlang Jiwa Gemilang,” penganjuran Citra Kokurikulum 2024 bertujuan meningkatkan kemahiran insaniah pelajar dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan kreativiti mereka.
Citra Kokurikulum 2024 yang berlangsung pada 13 dan 14 Disember 2024 di UTHM Kampus Cawangan Pagoh dan 3 hingga 11 Januari 2025 di kampus induk itu melibatkan penganjuran 11 program dari pelbagai teras kokurikulum.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dianjurkan seperti Sukan Citra Pagoh, Plogging, Karnival IGNITE Citra, Sukan Rakyat, Malam Citra Budaya, Bazaar Malam Citra, Trail Blaze, The Great Campus Dash, Pertandingan Kawad Kaki dan Pameran Citra.
Sementara itu, Majlis Penutup Citra Kokurikulum 2024 pula telah diadakan pada 11 Januari lalu di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk dan disempurnakan oleh Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti.
Dato’ Sri Ibrahim dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada jawatankuasa program yang diketuai oleh Pengarah Citra Kokurikulum 2024, Melissa Serafina Anak Bujang.
Beliau turut mengingatkan pelajar untuk melengkapi diri dengan sijil kompetensi dalam bidang masing-masing sebagai persediaan untuk bersaing di alam kerjaya.
“Sijil ini dapat memberi peluang kepada anda semua untuk bekerja di peringkat global, selain dapat meningkatkan ciri-ciri profesional seorang pelajar.
“Saya juga berharap penerapan ciri-ciri keusahawanan dalam kalangan pelajar bersesuaian dengan hasrat universiti ke arah Global Technopreneur University 2030 (#GTU2030),” katanya.
Hadir sama, Prof. Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Sementara itu, pengarah program dalam ucapannya berterima kasih kepada pihak PPUK, terutamanya Unit Kokurikulum Berkredit (UKB) kerana memberi peluang kepadanya melaksanakan program itu.
“Saya yakin penganjuran program seumpama ini dapat meningkatkan lagi aspek kemahiran insaniah pelajar, selari dengan hasrat universiti dalam melahirkan modal insan yang holistik dalam segenap bidang.
“Penglibatan keseluruhan pelajar KKB diharap dapat membentuk jati diri yang unggul, sekali gus memberi keseimbangan dalam segenap aspek kehidupan sama ada dari segi intelek, emosi, rohani dan sosial,” katanya.
Majlis itu turut memberi penganugerahan kepada pengajar kursus kokurikulum berkredit atas komitmen dan dedikasi yang diberikan sepanjang semester berlangsung.
Antara anugerah yang diberikan adalah Pengajar Terbaik, Pengajar Harapan, Pengajar Program Terbaik (SEP, Kerja Lapangan, Latihan Intensif), Anugerah Penghargaan Staf Kokurikulum dan Penghargaan Jasa Bakti Kokurikulum.
Majlis tersebut juga menyaksikan penyampaian hadiah bagi johan keseluruhan program Sukan Rakyat Citra, Pertandingan Kawad Kaki dan Malam Budaya Citra.
PPUK berharap pelaksanaan program sebegitu dapat menerapkan nilai-nilai yang murni selain dapat membimbing pelajar menjadi seorang yang seimbang dalam segenap aspek, sama ada akademik mahupun kokurikulum.




