Teknousahawanan menjadi elemen penting dalam bidang keusahawanan pada masa kini dengan munculnya keusahawanan berasaskan digital hasil daripada transformasi dunia konvensional perniagaan melalui teknologi digital. Teknousahawan sering dikatakan persona seorang yang orang bijak, kreatif, pakar teknologi dan bersemangat serta mempunyai minat untuk berdepan dengan risiko kerana bidang keusahawanan adalah meluas dan melibatkan berbagai teknologi kompleks. Ia dianggap sebagai sebuah perkara besar bagi seseorang usahawan dalam memula atau meneruskan perniagaan mereka kerana ia berkait rapat dengan teknologi yang mana tidak semua usahawan akan berjaya memasuki bidang teknokeusahawanan.
Definisi teknokeusahawanan ialah penggunaan teknologi oleh seseorang usahawan dalam penciptaan sesuatu produk untuk mengubah sesuatu teknik yang menggunakan kaedah tradisional. Istilah teknokeusahawanan itu sendiri adalah hasil daripada gabungan perkataan ‘teknologi’ dan ‘keusahawanan’. Dengan erti kata mudah, ia adalah sebuah proses dalam penggabungan antara kemahiran keusahawanan dengan kehebatan teknologi terkini. MADANI diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan, dengan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur.
Dalam bidang teknokeusahawanan, usahawan dipanggil sebagai teknousahawan kerana mereka lebih banyak mengguna pakai teknologi dalam mencipta produk baharu. Mereka meneliti kaedah terkini dan banyak mempertimbangkan beberapa idea yang lebih baharu kerana hendak melakukan perkara yang berbeza daripada yang sedia ada iaitu dengan menggunakan teknologi serta mencipta produk baharu yang juga menggunakan teknologi. Antara bidang kritikal dan terpenting yang perlu diberi perhatian oleh teknousahawan ialah dalam sektor teknologi maklumat (IT), elektronik, bioteknologi, produk berteknologi tinggi, penggunaan teknologi dalam menyampaikan perkhidmatan penting dan firma perkhidmatan yang mana misi utamanya adalah teknologi.
Antara isu dalam pendigitalan syarikat ialah kekurangan kemahiran IT. Bagi sesebuah syarikat untuk berjaya dalam usaha transformasi ke arah pendigitalan syarikat, mereka memerlukan pekerja IT yang mahir dan berprestasi tinggi yang mana pekerja tersebut boleh menjadi aset syarikat kerana kemahiran dan kepakaran yang dipunyai oleh pekerja tersebut. Matlamat untuk pendigitalan syarikat ini akan sukar dicapai sekiranya sesebuah syarikat itu terdapat kekurangan pekerja mahir teknikal dan perkara ini juga akan lebih sukar untuk dicapai sekiranya terdapat kekurangan pekerja teknologi semasa.
Selain itu, isu kekangan bajet juga merupakan isu dalam pendigitalan syarikat. Untuk bertukar ke arah pendigitalan syarikat, ia bukanlah suatu pelaburan yang murah tetapi memerlukan perbelanjaan yang besar kerana ia melibatkan teknologi terkini. Sesebuah syarikat perlu mempunyai matlamat jangka panjang yang harus dirancang dan difikirkan dengan mendalam yang berkaitan dengan kewangan dan bajet untuk mencapai proses pendigitalan syarikat kerana ia bukanlah suatu proses yang mudah, lebih-lebih lagi jika syarikat yang kekurangan modal hendak bertukar ke arah pendigitalan syarikat.
Di samping itu, isu dalam pendigitalan syarikat ialah perisian dan teknologi yang kompleks. Perisian perusahaan sememangnya kompleks dan untuk sesebuah syarikat yang hendak bertukar ke arah pendigitalan, teknologi baharu boleh menakutkan mereka kerana tidak biasa menggunakannya. Hal ini menjadikan ia sebagai isu yang besar bagi sesebuah syarikat yang menjalani transformasi ke arah pendigitalan syarikat kerana tidak biasa dengan teknologi baharu dan juga perisian yang menyukarkan.
Setelah membincangkan isu-isu pendigitalan syarikat, antara cabaran yang dihadapi oleh sesebuah syarikat dalam mendigitalkan syarikatnya adalah untuk mengendalikan sifat dan emosi pekerja untuk berubah ke arah pendigitalan syarikat. Manusia secara analoginya meminati tugasan yang rutin yang mana ia? membuatkan manusia berasa selesa dan begitu juga dengan pekerja-pekerja di sesebuah syarikat yang sudah terbiasa melakukan sesuatu tugasan rutin yang sukar diubah. Hal ini membuatkan mereka berasa terancam. Maka dengan itu, syarikat haruslah memikirkan suatu cara yang efektif dan memberitahu kelebihan jika berubah ke arah pendigitalan syarikat agar pekerja mematuhi arahan untuk berubah bersama-sama. Syarikat juga haruslah konsisten dalam memastikan pekerjanya terlibat dalam keseluruhan proses untuk berubah ke arah digital, agar dapat membantu mereka dalam memahami perkara baharu yang berkaitan dengan teknologi, sekali gus lebih mudah mengikuti situasi tersebut.
Seterusnya, mencari kepakaran untuk meneruskan ke arah pendigitalan syarikat juga antara cabaran yang perlu dihadapi oleh sesebuah syarikat dalam mendigitalkan syarikatnya. Hal ini kerana ia memerlukan gabungan antara bakat dan teknologi untuk melalui transformasi digital bagi membawa pelbagai cabaran teknikalnya yang tersendiri dan syarikat sememangnya memerlukan orang yang tepat untuk melakukannya. Syarikat harus melatih tenaga kerja mereka untuk celik digital dan membantu mereka untuk membina kemahiran yang diperlukan. Walau bagaimanapun, terdapat juga kemungkinan bahawa sesebuah syarikat tidak mempunyai kepakaran secara dalaman pada masa ini untuk melakukan transformasi digital dan cabarannya adalah syarikat harus mencari rakan kongsi perniagaan atau pekerja baharu yang boleh membantu dalam perjalanan pendigitalan syarikat.
Kesimpulannya, teknokeusahawanan adalah teknologi yang digunakan oleh teknousahawan dalam mencipta produk baharu bagi menggantikan cara tradisional kerana hendak mengikuti peredaran zaman yang mana pada masa kini, teknologi telah banyak digunakan di merata tempat. Hal ini memberikan kelebihan kepada teknousahawan seperti meningkatkan produktiviti di dalam syarikat tetapi ia tetap mempunyai isu dan cabaran yang tersendiri ketika sesebuah syarikat hendak melakukan pendigitalan syarikat. Oleh itu, sangat penting bagi sesebuah syarikat untuk mengetahui cara-cara yang efektif agar dapat bertukar ke arah pendigitalan syarikat dengan mudah dan berkesan.

Dr. Anim Zalina Azizan
Penyelidik Bersekutu Kumpulan Fokus Technology and Innovation Management
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Berita Harian (muka surat: 11), 22 Januari 2025: Gabungan pekerja, pakar permudah pendigitalan firma

