Oleh Nurul Hidayah Liew Abdullah, Suriayati Baharom
CHINA – Bagi meneruskan hubungan kerjasama yang seterusnya, satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM dan Ningbo Polytechnic (NBPT) telah diadakan pada 25 November 2024 lalu bertempat di politeknik tersebut.
UTHM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim dan NBPT diwakili oleh presidennya, Prof. WU Xiangpeng.
Untuk rekod, UTHM dan NBPT telah menjalin hubungan kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan sejak 2018 lagi.
Kunjungan ke Politeknik tersebut yang berlangsung pada 23 hingga 27 November 2024 bertujuan untuk memperkukuh lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
Lawatan kerja itu juga bagi membuka peluang dan ruang kerjasama dengan institusi lain yang dipercayai dapat meningkatkan lagi keterlihatan UTHM di peringkat antarabangsa.
Melalui kerjasama UTHM-NBPT, delegasi UTHM telah melawat beberapa industri seperti Haitian Group dan Lynk & Co Automotive Technology Co., Ltd. (Lynk & Co) yang terletak di Ningbo, China.
Lawatan itu juga secara tidak langsung membuka peluang kerjasama yang luas kepada UTHM seperti kerjasama dalam penempatan latihan kepada pelajar, pensyarah dan pekerja industri.
Selain itu, program mobiliti pelajar yang dibincangkan melibatkan kerjasama dengan NBPT dan kedua-dua industri tersebut dijangka dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada universiti dan industri sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang
Pelbagai potensi dapat direalisasikan seperti pertukaran pelajar/staf, latihan industri termasuklah Work based learning (WBL), kerjasama dalam aktiviti penyelidikan dan penyeliaan serta aktiviti pengantarabangsaan seperti adaptasi bahasa dan kebudayaan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
Naib Canselor dan delegasi UTHM turut mengunjungi teaching factory (Faculty of Haitian) di NBPT dan UTHM-Malaysia Center.
Hasil kunjungan tersebut turut membuktikan bahawa NBPT sentiasa bersedia untuk menjalin kerjasama dua hala dengan UTHM pada masa ini dan akan datang.



