BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mencapai kedudukan ke 131 terbaik dunia sekali gus menjadi antara 150 universiti terbaik dunia dalam penarafan UI Greenmetric World University Rankings 2024.
Keputusan penarafan tersebut dibuat menerusi pengumuman oleh sekretariat penarafan pada 12 Disember 2024 lalu di São Paulo, Brazil.
Keputusan itu merupakan pencapaian terbaik UTHM pada kedudukan 131 sejak penyertaannya pada tahun 2017 berbanding dengan pencapaian pada tahun-tahun lalu.
Untuk rekod, penyertaan penarafan UIGWUR kali ini melibatkan 1,477 penyertaan universiti dari seluruh dunia.
UTHM juga berjaya berada di kedudukan ke-8 daripada penyertaan 60 institut pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia pada tahun ini, yang juga merupakan kedudukan terbaik pernah dicapai, serta kekal menjadi antara 10 universiti tempatan terbaik dalam aspek kelestarian hijau.
Kedudukan itu disumbangkan oleh inisiatif kelestarian yang dilaksanakan oleh universiti, yang dinilai berdasarkan elemen yang ditetapkan dalam penarafan UIGWUR iaitu Tetapan dan Infrastruktur, Tenaga dan Perubahan Iklim, Sisa, Air, Pengangkutan serta Pendidikan dan Penyelidikan.
Universiti juga berjaya mengekalkan markah penuh 100% untuk elemen Pendidikan dan Penyelidikan, meletakkan UTHM di tempat ke-4 di Malaysia dan tempat ke-35 terbaik dunia menerusi elemen tersebut.
Antara elemen lain yang turut mengalami peningkatan ialah Tetapan dan Infrastruktur dengan markah 81.67% (kedudukan ke 12 peringkat nasional dan ke 157 peringkat dunia), elemen Sisa dengan markah 87.5% (kedudukan ke 7 peringkat nasional dan ke 146 peringkat dunia) dan elemen Pengangkutan dengan markah 87.5% (kedudukan ke-8 peringkat nasional dan ke 119 peringkat dunia).
Pengumpulan data ini telah diselaraskan oleh Prof. Madya Dr. Nur Shaylinda Mohd Zin di bawah Pejabat Kampus Lestari (SCO) bermula pada bulan Mac 2024 yang melibatkan Penyelaras Data Hijau dari Pusat Tanggungjawab (PTj) dan Pusat Kecemerlangan/Pusat Penyelidikan UTHM.
Proses penyediaan laporan dilaksanakan oleh SCO bersama Jawatankuasa Pengurusan Kelestarian Universiti (JPKU) melalui ketua kluster dan ahli-ahlinya terdiri daripada Kluster Sisa dan Kitar Semula diketuai oleh Ir. Ts. Dr. Tong Yean Ghing, Kluster Air diketuai oleh Ir. Dr. Hartini Kasmin, Kluster Perjalanan dan Pengangkutan diketuai oleh Dr. Mohammad Nasir Mohamad Taher, Kluster Pendidikan dan Penyelidikan diketuai oleh Dr. Nur Adila Ab. Aziz, Kluster Pembangunan, Iklim dan Daya Tahan diketuai oleh Prof. Madya Dr. Rozlin Zainal, Kluster Bangunan Hijau diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Azeanita Suratkon dan Kluster Tenaga diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Noor Abdullah.
Pengarah Pejabat Kampus Lestari (SCO), Profesor Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir berkata pencapaian ini menunjukkan warga UTHM lebih cakna dan semakin komited dalam membudayakan amalan kelestarian di universiti.
Beliau amat menghargai sumbangan dan inisiatif yang dilakukan oleh seluruh warga universiti dalam menerapkan amalan kelestarian yang kemudiannya diterjemah melalui penarafan UIGWUR ini.
